Antara 2 Bidadari


03/10/2009 - Aku dirias cantik bak bidadari kayangan. Seperti cerita dogengan nenek. Berjubah polos putih suci. Di hadapan aku tersergam megah sebuah binaan yang ku kira mahligai yang paling indah. 

Sungguh indah. Indahnya tiada ungkapan kata yang mampu ku gambarkan. Berseri-seri. Serinya bagaikan mengandungi cahaya yang menusuk jiwa. Wanginya bagaikan haruman yang mampu merungkai keresahan hati. 

Sungguh aku terpesona. Di manakah aku saat ini? 

Pintu mahligai terbuka perlahan-lahan. Sekumpulan wanita-wanita yang terlalu cantik berbaris turun. Lagaknya mahu menyambut ketibaan orang penting sahaja. Seorang wanita yang akhir sekali memunculkan diri di hadapanku terlalu cantik. Sedangkan aku yang wanita ini sudah mengakui kecantikan ketua bidadari itu apatah lagi lelaki yang memandangnya. Mahu gila angau sejuta bulan. Mahu tidur tidak nyenyak, mandi tidak basah, makan tidak kenyang. 

Cantiknya dirimu. Terpancar kesucian yang jelas daripada wajahnya. Inikah bidadari seperti yang dijanjikan khabarnya menerusi ayat-ayat cinta Nya? Sungguh, aku terkesima memandangnya. Inikah Hurun Ain seperti yang pernah aku baca kewujudannya untuk berdamping setia dengan lelaki soleh lagi mulia. 

Dia memimpinku dengan senyuman paling manis yang pernah dihadiahkan kepadaku. Meraih lenganku dengan mesra. Lagaknya seperti dia mengenaliku sekian lama. Aku menurut sahaja. Tidak pula membantah. Laluan kami ditaburi kelopak mawar merah. Kami menuju ke dalam mahligai. Aku bagaikan orang dipukau. Dipukau dengan keindahan yang terbentang di hadapan mataku ini. Barisan wanita-wanita cantik tadi melagukan selawat. 

Sedap bunyinya. Berirama merdu. Cukup mendamaikan. 

Melangkah sahaja kakiku, deria rasaku disapa wangian yang cukup mewangikan. Ditegur kedinginan yang menyamankan. Diacah kecantikan mata. 

Nun disinggahsana berdiri seorang lelaki segak bergaya. Susuk tubuh yang amat ku kenal. Dia suamiku. Ya, mataku tiada salahnya. Dia suamiku. Suami yang ku cintai. 

Sememangnya aku mula terasa kerdil apabila melihat bidadari cantik itu. Aku tidak mampu untuk berdamping dengan lelaki yang amat ku cintai itu. Hanya kerana bidadari itu adalah terlalu sempurna untuk berdamping sepadan dengan suamiku. 
Sesuatu yang tidak kuduga, suamiku menghulurkan tangannya. Bidadari cantik itu memimpin aku yang tampak teragak-agak. Menyambut huluran yang amat bererti itu. Lalu aku didudukkan di samping suamiku. Suamiku mencium dahiku. Hangat dan sarat dengan limpahan mahabbah. 

“Wahai wanita yang diredhai suami, engkau adalah Ketua Bidadari. Engkau adalah Bidadari Untuknya. Untuk lelaki soleh itu. Kami ini adalah teman pendampingmu.” Lembut tutur bicara bidadari cantik itu. 

Menitis air mataku. Teringat aku satu janji Pencipta. Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud: “(Kebiasaannya) wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat. Lelaki-lelaki yang jahat juga adalah untuk wanita-wanita yang jahat. Dan sebaliknya wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik serta lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik.” – Surah al-Nur: 26. 

Seruan azan Subuh membuatkan aku terjaga. Ku kalihkan tempat beraduku. Di sampingku seorang lelaki yang telah Allah muliakan kedudukannya dalam mimpiku. Aku mengesat titis tangis yang terkesan daripada khabar gembira mimpi tadi. 

Sungguh aku bersyukur. Aturan suamiku yang membahagiakan. 

Majlis pernikahan yang berlangsung tiada halangan. Segalanya dipermudahkan. 

Pengantin itu mendatangiku. Aku terasa satu perasaan yang amat lapang. Lantas ku angkat wajahku. 

“Jagalah hati isteri, jangan disakiti, jangan dilukai, kerana ia amanah Ilahi. Bila bahagia membuatkan diri menjadi suci, isteri seorang terasa cukup di hati.



0 comments:

Catat Ulasan