Bekalan Buat Anakanda

Salam Jumaat buat anakanda umi dan abi yang dikasihi, moga dihari penuh barakah ini kita sekeluarga sama-sama merafa'kan syukur pada Allah, kerna masih dikurniakan pinjaman nikmat kesihatan untuk terus berkelana di bumi Nya dan terus berusaha menjadi manusia yang lebih baik dari sebelumnya. Insya Allah. Segala puji hanya bagi Allah. Salam dan selawat atas junjungan mulia, Muhammad s.a.w., keluarga dan sahabat baginda. Moga dengan keberkatan penghulu segala hari ini kita akan maksimakan semampu yang boleh untuk memaniskan iman dan taqwa serta menyempurnakan akhlaq sebaik-baiknya.

Tiada apa yang istimewa dapat umi dan abi lakarkan buat tatapan khalifah kecil pada ruangan kali ini. Sekadar seuntai madah, buat kenang-kenangan dan insyaallah jadi panduan buat bekalan anakanda menyelusuri kehidupan yang penuh pancaroba kelak.

Anakku,
Kala sendirian dalam kegelapan,
Ingatlah ALLAH,
Kala kebuntuan dalam masalah,
Ingatlah ALLAH,
Kala kesedihan beraja di hati,
Ingatlah ALLAH,
Kala sendu mengiringi perjuangan,
Ingatlah ALLAH,
Kala hati rawan,
Ingatlah ALLAH...


Yakinlah, Kita masih ada ALLAH yang MAHA PENYAYANG yang selalu bersama saat suka dan duka. Fazkuruni azkurkum. Ingatlah ALLAH saat suka anakanda, pasti ALLAH mengingati mu saat anakanda berduka wahai sayang. Yakin lah dengan perancangan ALLAH, Dia lebih tahu apa yang terbaik dalam percaturan kehidupan kita. Dan keyakinan itu perlu dilentur dari sekarang, jangan berduka wahai sayang seandainya saat perjuangan yang anakanda juangkan mengalami penentangan yang hebat dari musuh agama. Juga dari penentangan saudara seagama. Bukan mudah menjadi insan yang gemilang di saat dunia penuh dengan dosa.

Anakanda kesayangan abi dan umi, Layarilah kehidupan ini dengan ilmu dan amal. Kerana ilmu itu penyuluh di dunia dan akhirat.

Sekiranya anakanda inginkan dunia, maka dengan ilmu,
Sekiranya anakanda inginkan akhirat, maka dengan ilmu,
Sekiranya anakanda inginkan dunia dan akhirat, maka juga dengan ilmu
Wassalam ~ Abi & Umi yang amat menyayangimu...

Harapan Bonda

Bismillahirrahmanirrahim... Syukur alhamdulillah kepada Rabbul 'Izzah yang tinggiNya tidak mungkin digapai, muliaNya membuat kita hina, kasihNya membuat kita bahagia... Dialah tuhan yang mengetahui apa yang tersembunyi dan apa yang nyata. Selawat dan salam buat insan mulia penghulu umat, bersih pekertinya membuat kita kotor, lembut tingkahNya membuat kita kasar... Muhammad Rasulullah penunjuk jalan....

Salam penuh kasih buat permata hati yang di sayangi, hari ini genap usia anakanda mendiami rahim umi selama 6 bulan 2 minggu dan 3 hari... moga dengan pertambahan umurmu akan menambahkan lagi akal yang sihat, akhlaq yang sempurna, iman yang padu dan taqwa yang subur merendang pada Allah. Ameen insya Allah. Subhanallah, Dia menciptakan engkau dari setitis mani dan segumpal darah yang hina, lalu di ciptakan sebagai manusia yang sempurna dan ditiupkan roh, lalu anakanda akan dibebani dengan pelbagai tanggungjawab atas dunia ini sebagai khalifah Allah.

Permata hati abi dan umi, Hidup kita bukan hanya ciptaan yang sia-sia, kita punya misi dan tanggungjawab yang besar. Allah berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat ke 72, Sesungguhnya telah Kami amanahkan kepada langit, bumi dan gunung-gunung, lalu mereka enggan memikulnya & takut menerimanya, kemudian amanah itu dipikul oleh manusia. Allahuakbar, besar tanggungjawan kita wahai anakanda. Sediakanlah dirimu sebaiknya untuk memikul amanah tersebut.

Khalifatullah, Semalam usiamu bertambah 1 hari. Semalam juga anakanda masih kecil, hari ini anakanda mendapat satu pengalaman baru tetapi esok belum lagi pasti menjadi hakmu. Hargailah pengalaman yang anakanda perolehi, pandanglah ia dengan mata hati yang berlandaskan iman pada Allah. Insya Allah, anakanda akan merasai kemanisan dalam merenungi hikmah yang Allah tetapkan sepanjang anakanda berkelana di alam sana.

Anakanda yang dikasihi, Hargailah dirimu yang Allah ciptakan sebaik-baik kejadian. Hiasilah akhlaqmu! Allah telah menciptakan anakanda sebagai khalifah yang diangkat martabat di sisi Nya, jangan anakanda rendahkan martabatmu hanya untuk dunia fatamorgana.

Anakanda kesayangan abi dan umi, Seringkali hati umi berbisik, apakah tarbiyyah yang anakanda telah dan akan perolehi kelak bisa menjadikan anakanda insan yang berguna pada agama dan masyarakat? Manusia sering berubah, hati sering berbolak balik, iman ada pasang surutnya. Namun, sandaran harapan hanya pada Allah. Moga Dia menjagamu dan sentiasa memelihara anakanda dari segala fitnah dunia, jauh dari siksa kubur dan azab neraka. Ameen...

Khalifatullah, Dikau permata berharga. digubah dengan penuh kasih sayang untuk kau salurkan pada insan-insan yang hak. Kasih dan cinta yang tiada syarat pastinya buat sang pencipta. Hanya iman yang padu mampu meluruskan jalanmu wahai anakanda. Moga dengannya akan menjadikan kau sebutir permata indah, dimana hadirmu memberi cahaya dan pergimu akan menjadi kehilangan pada setiap insan yang pernah merasai kehadiran anakanda disisi mereka.

Anakanda yang amat dirindui, Kita hanya manusia hina, dengan iman dan taqwa kita menjadi mulia. Sungguh Allah Maha Penyayang, jangan anakanda sia-siakan apa yang telah Dia berikan. Berbaktilah sayang, selagi jantungmu berdegup, matamu berkelip dan rohmu di jasad. Lepaskan lelah mu di atas sejadah, moga kau sentiasa mengharap pada Nya. Mohonlah pada Nya, kerana Allah berjanji... Mintalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan.

Allah tidak pernah memungkiri janji Nya sayang! Dan ingatilah janji Allah, kullu nafsin zaiqatul maut..! Dunia hanya jambatan menuju akhirat. Ingatlah pada nasihat Imam Ibnu Al-Jauzi, dunia ini hanya untuk dilalui bukan untuk diramaikan. Letakkan dunia di tangan, agar mudah untuk kau lepaskan. Sisipkan akhirat di hati, agar dengannya kau menjadi manusia yang sentiasa mengutamakan pandangan Allah dari pandangan manusia...
Wassalam, umimu ^_^

Cerita Sepohon Epal

Anakanda, dengarkanlah....

Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.

Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu. "Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab budak remaja itu. "Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak remaja itu dengan nada yang sedih.

Lalu pokok epal itu berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan."

Budak remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih.

Masa berlalu... Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa gembira.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu. "Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?" Tanya budak itu.

"Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya." Pokok epal itu memberikan cadangan.

Lalu, budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.

Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu. "Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu.

"Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang pokok epal itu.

Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.

Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia, datang menuju pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu.

"Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati..." kata pokok epal itu dengan nada pilu.

"Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku berupaya untuk belayar lagi, aku merasa penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu.

"Jika begitu, berehatlah di perduku," cadang pokok epal itu. Lalu lelaki tua itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua menangis kegembiraan.

Anakanda... cerita ini sengaja umi kongsikan, semoga apabila anakanda mula memahami dan mengerti kelak, secebis pengajaran daripadanya dapat anakanda kutip buat bekalan menuju kedewasaan...


Bingkisan Buat Anakanda

Assalamualaikum ya khalifatullah.... apa khabar anakanda di sana? pastinya sudah kian membesar seiring cepatnya peredaran waktu... Sudah 6 bulan usia kehamilan anakanda... Kemaafan umi pohon kerana sudah lama tidak menitip luahan sayang buat anakanda di kanvas maya ini.... Namun, ketahuilah khalifatullah sentiasa di hati umi dan abi.... Doa dan untaian kasih kami tidak pernah putus buat anakanda.... Harapan juga sentiasa menggunung, mengharap permata hati yang dinanti sihat sejahtera dinaugi kasih sang pencipta.....


Anakanda.... Kehadiranmu membuka tirai ceria
Menambah senyum di hati bunda
Memberi sinar harapan pada ayahanda

Hadapilah kelak
Sekiranya ada yang berusaha menempelak
Timbanglah yang mana perlu
Kerna sebarang penyudah itu
Seawal ini kita tidak akan tahu

Tiada keroncong berlagu untukmu
Tiada jua kalungan emas bertatah permata
Indah tiada bicara ini
Cuma secebis bingkisan puisi
Hanya luahan rasa hati
Buat menemani anakanda tika sendiri

Salam Sayang

(Umi & Abi)