Mampukah aku menjadi seperti Siti Khadijah? 
Agung cintanya pada Allah dan Rasulullah, 
Hartanya diperjuangkan ke jalan fisabillah, 
Penawar hati kekasih Allah, 
Susah dan senang rela bersama.


Dapatkah kudidik jiwa seperti Siti Aishah, 
Isteri Rasulullah yang bijak, 
Pendorong di kala kesusahan dan penderitaan, 
Tiada sukar untuk dilaksanakan.


Mengalir air mataku, 
Melihat pengorbanan puteri solehah Siti Fatimah, 
Akur dalam setiap perintah, 
Taat pada abuyanya yang sentiasa berjuang, 
Tiada memiliki harta dunia, 
Layaklah ia sebagai wanita penghulu syurga.


Ketika aku marah, 
Inginku intip serpihan sabar, 
Daripada catatan hidup Siti Sarah. 
Tabahkah jiwaku, 
Setabah umi Nabi Ismail, 
Mengendong bayinya yang masih merah, 
Mencari air penghilang dahaga, 
Di terik padang pasir merak, 
Ditinggalkan suami akur tanpa bantah, 
Pengharapannya hanya pada Allah, 
Itulah wanita Siti Hajar.


Dapatkah aku mengikut jejak Siti Rahmah, 
Permaisuri Nabi Ayyub, 
Pasrah dengan dugaan Tuhannya, 
Walau pernah tersungkur ke dalam jerat syaitan, 
Namun ia kembali, 
Kerana iman yang kuat, 
Telah dijanjikan syurga adalah balasannya, 
Bahagia adalah miliknya.

Mampukah aku menjadi wanita solehah? 
Mati dalam keunggulan iman, 
Bersinar indah, harum tersebar, 
Bagai wanginya pusara Masyitah.


Suamiku...


Seorang lelaki bergelar suami
Seorang mukmin yang merindui syahid di jalan ALLAH
Seorang hambaNYA yang senantiasa zikrullah


Dia seorang lelaki yang tegas dan berani
Dia tidak pernah takut untuk berkata benar
Dia tidak pernah gentar melawan nafsu yang ingin menguasai diri
Dia sentiasa mengajak aku berjuang berjihad fisabilillah

Dia selalu menghiburkan aku
Dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran
Dengan zikir-zikir munajat
Dengan surah-surah rindu yang dihafaznya

Ketika aku leka diulik mimpi indah duniawi
Dia menasihati ku supaya mengingati mati
Ketika aku sedang asyik terpesona dengan buaian cinta dunia
Dia menyedarkan aku betapa lazatnya lagi pesona cinta Yang Maha Esa

Dia memang sentiasa kelihatan penat
Matanya penat kerana membaca
Suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir
Badannya letih kerana bermunajat di malam hari

Dia sentiasa mengingati mati
Baginya, dunia ini adalah pentas lakonan semata-mata
Kita hambaNYA adalah pelakon
Hasil keputusan lakonan kita akan diputuskan di padang Mahsyar nanti


Dia sentiasa menjaga matanya dari berbelanja perkara-perkara maksiat
Dia sentiasa mengajak aku mendalami ajaran Islam
Dia seorang yang penyayang dan taat akan kedua ibu bapa
Dia juga sentiasa berbakti untuk keluarga

Dia sentiasa tabah dan sabar dalam menghadapi dugaan
Baginya, dugaan-dugaan itulah yang akan menjahit semula
Sejadah imannya yang terkoyak
Lantaran mungkin kerana kekhilafannya sendiri

Dia sentiasa menjaga solatnya kerana itulah maruah dirinya
Dia sentiasa bersedia menjadi imam dan pemimpin keluarga
Dia tidak pernah berasa malu mempertahankan agama IslamNYA
Kerana Islam adalah addin ALLAH yang sebenar-benarnya

Dia sentiasa ingin mencontohi sifat-sifat mulia Rasullullah S.A.W.
Dia juga sentiasa berusaha mencintai kekasih agungnya
Kekasih sejatinya dan kekal abadi
Iaitu ALLAHURABBI


Dia selalu berdoa dan mengimpikan syurga
Dia ingin mengajak aku ke sana sekali
Kerana, di situlah tempat pertama wujudnya cinta
Dia ingin bawa aku ke syurga yang abadi dan hakiki


Aku mencintai dia kerana agamanya dan kerana cintanya kepada Maha Pencipta
Andai dia hilangkan cintanya, maka hilanglah cintaku pada dia
Cinta dia terhadap Maha Pencipta mendekatkan aku padaNYA
Cinta Illahi jugalah yang menyebabkan aku memilih dia
 

Hanya Engkau Yang Maha Mengetahui segala sesuatu 
Kerana..
Dia pilihan ku..


Sebuah Pertemuan


Pertemuan antara kita, 
Tidak pernah dirancang, 
Tetapi telah diatur kemas oleh Rabbul Jalil, 
Yang mengetahui suara hati antara kita, 
Yang mengimpikan kehadiran seorang insan, 
Bergelar Suami & Isteri... 


Akma...ratuku

Ratuku... Akma,
Ingin abang luahkan, 
Tentang kebimbangan ini, 
Tatkala melihat bunga-bunga berguguran, 
Di petik tangan-tangan yang ganas,
Lagi bernafsu serakah. 


Akma, sayangku...

Kebimbangan ini masih menebal, 
Apabila terdengar, 
Dengungan kumbang perosak, 
Yang cuba menyedut madu, 
Walau tanpa rela. 


Isteriku, Akma... 
Kebimbangan ini bertambah lagi, 
Apabila melihat, 
Bunga yang tidak segan silu,
Melampiaskan kecantikannya, 
Ketika sedang mekar, 
Melupakan kuntuman, 
Yang sebelum ini melindunginya. 

Akma... 
Abang masih terpinga-pinga, 
Masih wujudkah lagi, 
Ratu idaman hati, 
Kerana apa yang aku lihat hari ini, 
Semakin banyak bunga-bunga gugur, 
Bagaikan tibanya musim luruh. 


Akma... 
Bukanlah diharap, 
Kau segigih Siti Hajar, 
Yang berlari-lari, 
Antara Safa dan Marwah, 
Bukan juga sesetia Ainul Mardiah, 
Yang menanti kekasihnya di pintu Syurga. 


Akma... 
Akuilah hakikat yang tersurat, 
Engkau bukanlah Siti Khadijah, 
Mahupun Siti Fatimah, 
Engkau bukan Aishah, 
Bukan juga Rabiatul Adawiyah, 
Wanita suci terpuji, 
Kerana aku tidak layak, 
Berharap sedemikian rupa. 

Cukuplah sekadar, 
Kau cuba mencontohi,
Bunga-bunga itu, 
Kembang mekar mewangi, 
Sehingga harumannya,
Melewati pintu-pintu Syurga. 


Jangan kau risau ratuku, 
Kadang kala musim berganti, 
Sehingga bunga tidak dapat berkembang mekar, 
Tapi itu, 
Hanya ujian buatmu. 


Akma... 
Esok musim bunga pasti akan tiba, 
Dan kau akan mampu berkembang lagi, 
Cuma yang abang harapkan ketika itu, 
Kau jaga kelopakmu itu,  
Kerana kau RATU IDAMAN KALBU.
 

Akma.. 
Abang bukanlah memandang kecantikan, 
Walaupun kadangkala abang tertarik memandangnya. 
Tapi bukan itu yang abang harapkan, 
Abang yakin ratuku, 
Masih ada sinar harapan, 
Yang membuat abang tersenyum lega, 
Kerana telah abang temui, 

RATU yang benar-benar RATU

"Maizatul Akma"

Tinta Suamimu...Ibrahim


Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan ke hadrat Ilahi atas kurniaan nikmat Iman dan Islam yang kami warisi, nikmat kesihatan, masa lapang dan akal yang waras. Bukan semua daripada manusia hari ini yang punya kesempatan untuk merasa nikmat yang Kau berikan pada kami Ya Rabbi. Lebih-lebih lagi nikmat Iman dan Islam. Biarpun kedua nikmat ini kami warisi daripada kedua orang tua, kami tetap bersyukur kerana lahir kami dalam agamaMu, dan kami harapkan perjalanan hidup kami masih dalam agamaMu dan begitu juga akhir hayat kami masih tetap utuh peganganku pada agamaMu. 

Setiap kejadian yang Kau takdirkan dalam hidup kami, begitu banyak mendidik dan mungkin istilah yang lebih tepat adalah mentarbiyah rohani kami yang selalu lupa dan leka. Alhamdulillah Ya Karim…kami amat-amat bersyukur atas kurniaan yang Kau berikan.

Kau berikan kami keyakinan yang Kau akan tetap berada di setiap nafas kami, di setiap urat nadi kami, di setiap alir darah kami. Alhamdulillah…Kami yakin setiap yang Kau takdirkan kepada kami adalah sesuai dengan kesanggupan kami kerana Kau begitu sayang kepada kami. Kami memohon akan kekuatan itu…..

Suamiku...Ibrahim


Cinta seperti hujan yang berkunjung renyai-renyai dalam kebun hidupku. Sungguh wajah Ibrahim seperti awan rendah yang meneduhkan. Aku suka memandang wajah itu, setiap hari dan saban malam. Tak pernah jemu, kerana wajah itulah yang tak putus-putus menghantar kedinginan dan keredupan, hujan cinta yang renyai-renyai. Wajah itu adalah cinta tak berbelah bahagi bagiku. 

“Keimanan itu bukan sekadar ikrar dengan lisan dan bukti melalui perbuatan, tetapi juga hati yang yakin dan mencintai,” pesan Ibrahim.

Ibrahim mengajarku pelbagai perkara, tentang langit dan bumi, tentang kelahiran dan kematian, tentang manusia dan hati. Juga tentang kisah para nabi dan rasul yang sangat gemar didengarinya. Aku ralit mendengar kisah Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah berkali-kali, berulang-ulang. Seperti seorang kanak-kanak, aku akan duduk diam di hadapan Ibrahim dengan senyuman manja sambil mendengar setiap satu kata yang diucapkan Ibrahim. Alangkah, cintaku menyala-nyala, tidak membakar tetapi mendinginkan.

Ibrahim mengajarku tentang keyakinan. Penyerahan dan kesabaran itu adalah kecintaan yang gagah, yang tulus buat Tuhan.

Aku cintakan Ibrahim, juga Ibrahim sangat mencintaiku. Itu yang dibisikkan Ibrahim tiap-tiap pagi ketika dahiku dikucup. Seperti dituangkan air yang dingin, aku merasai kasih sayang Ibrahim mengalir ke seluruh tubuhku, seluruh hati dan jiwa ragaku. Lalu tumbuh sepohon yang rendang, di situlah aku tumpang bernaung dari kepanasan dunia yang semakin melemaskan. Alangkah tulusnya. 

Ibrahimlah yang membawa ku  ke dunia yang serba cukup ini. Aku tidak mahu rumah mewah, atau kereta besar, atau barangan kemas yang membukit kerana aku hanya mahu merasai nikmat kasih sayang, memiliki keluarga dan insan untuk dicurahkan isi jiwa wanitaku.

Rinduku hanya kepada suamiku, tumpah melimpah-limpah. Itulah amanah yang ditetapkan oleh Tuhan buatku.

"Alangkah, Dia yang maha Menganugerah, pemilik segala Cinta, pemilik segala Rahsia."



Bingkisan Hati Seorang Isteri

Assalammualaikum wrt wbt..
Buatmu abang, suamiku..
Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkanku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk dirimu. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang khusus buatmu. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang aku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu. Itulah hatiku dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang. 
Aku telah dididik ibu semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana Allah telah menetapkannya untuk suamiku, iaitulah dirimu. Kata ibu, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi. Sepanjang umurku ini. 

Aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu. Aku menghalang diriku dari mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku seboleh-bolehnya melarikan pandanganku daripada ajnabi kerana pesan Sayyidatina ‘Aisyah R.A ;“sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan dipandang”

Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa guna aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati. Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seseorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat kuberikan.

Bagaimana akan aku jawab di hadapan Allah kelak andai disoal?

Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi? 

Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut Allah. Kalau aku inginkan lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik. 

Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik? 

Tidak dapat aku nafikan, sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun, setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang  menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Lelaki itu berhak mendapat kasih yang tulen, bukan yang telah dibahagi-bahagikan. 
Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan aku hanya sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti gadis lain, dimiliki lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu. Tidak perlu abang memiliki wajah seindah Nabi Yusuf A.S yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatku terpikat. Andainya abanglah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hati abang kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah. Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfak seluruhnya pada mencari redha Ilahi.
Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Akan aku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itulah impianku. Aku pasti berendam airmata darah andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Bukan itu yang aku impikan. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga. 

Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibubapaku dulu. Apa guna kau menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan kau lupa pada tanggungjawabmu terhadap agamamu. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku. 

Dariku,

Isterimu




Untuk Suami

Pernikahan atau perkahwinan 
menyingkap tabir rahsia
isteri yang abang nikahi 
tidaklah semulia khadijah 
tidaklah setakwa aisyah 
pun tidak setabah fatimah 
justeru, isteri abang hanyalah wanita akhir zaman 
yang punya cita-cita menjadi solehah 


pernikahan atau perkahwinan 
mengajar kita kewajipan bersama 
isteri menjadi tanah,  abang langit penaungnya 
isteri ladang ternakan, abang pemagarnya 
isteri kiasan ternakan, abang gembalanya 
isteri adalah murid, abang mursyidnya 


isteri bagaikan anak kecil tempat bermanjanya 
saat isteri menjadi madu abang teguklah sepuasnya 
seketika isteri menjadi racun abanglah penawar bisanya 
seandainya isteri tulang yang bengkok berhatilah meluruskannya
Pernikahan atau perkahwinan 
menginsafkan kita perlunya iman dan takwa 
untuk belajar meniti sabar dan redha Allah S.W.T 
kerana memiliki isteri yang tidak sehebat mana 
justeru, abang akan tersentak daripada alpa 
abang bukanlah Rasulullah S.A.W 
pun bukanlah Saidina Ali 
tetapi
suami akhir zaman yang berusaha menjadi soleh
...amin...



Bukan Tidak Tega, Tapi Terlalu Cinta!


Buatmu puteri kesayangan abah...
"Maizatul Akma"

Beratnya untuk melepaskan mu pergi. Selama ini, tangan ini yang membelaimu. Selama ini, hati ini yang selalu bimbangkanmu. Sejak suara tangismu yang pertama, sejak ku laungkan azan di telingamu, aku begitu mengasihimu. Ya, kau adalah permata hatiku. Namun, kau bukan selamanya milikku….
Rumah ini, cuma persinggahan dalam perjalananmu menuju kedewasaan. Dan kini sudah tiba masanya kau pamit. Walaupun di hatiku tercalar sedikit rasa pahit, tapi siapalah aku yang boleh menahan perjalanan waktu? Siapakah aku untuk menahan realiti kedewasaan? Maafkan aku wahai anak…. Bukan aku tidak tega, tetapi kerana terlalu cinta!
Hatiku tertanya-tanya, apakah ada insan lain yang boleh menjagamu sepenuh hati. Sejak bertatih, aku melihat jatuh bangunmu tanpa rasa letih. Siapakah yang membalut luka hatimu dalam kembara itu nanti? Aku jauh……bila segalanya bertukar tangan, amanah akan diserahkan. Aku tahu saat itu aku mesti mula melepaskan. Itu satu hakikat.

Cinta bukan bereti mengikat… tetapi melepaskan, membebaskan. Kau umpama anak burung yang telah bersayap, telah mampu terbang membelah awan, meninggalkan sarang. Apakah aku terlalu dungu untuk terus membelenggu? 

Puteriku… kau terpaksa ku lepaskan…. Apakah si dia mampu menyayanginya seperti aku? Ah, mengapa rasa curiga ini datang bertandang. Bukankah segalanya telah di putuskan sejak kau membisikkan bahawa hatimu telah diserahkan kepada ‘si dia’- lelaki pilihanmu? Bukankah segala perbincangan musim lalu telah terungkai dan keputusannya telah dimeterai? 

Namun… Hati abah… pasti ada gundah. Sudah pasrah, tapi diguris goyah. Bolak-balik hati ini wahai anak… terlalu laju untuk dipaku. 

Tepatkah plihanmu? Tepatkah keputusanku? Namun siapakah kita yang boleh membaca masa depan? Layakkah kita mengukur kesudahan di batas permulaan? 

Sangka baik jadi penawar. Kau anak yang baik, insyaAllah pilihanmu juga baik. Tuhan tidak akan mengecewakanmu. Jodohmu telah ditentukan. Dan ketentuan Allah itu pasti ada kebaikan! 

Kekadang, aku diserbu seribu pertanyaan. Apakah aku masih di hatimu setelah kau bersuami nanti? Atau aku hanya akan menjadi tugu kenangan yang dijengah sekali-sekala? Bukan, bukan aku membangkit, jauh sekali mengungkit…upayaku mendidikmu bukan suatu jasa. Itu hanya satu amanah. 

Namun, ketika usia menjangkau senja, aku pasti semakin sepi……

aku akan mengulang-ulang kisah lama yang penuh nostalgia. Diulit oleh kenangan indah musim lalu, ketika kau begitu manja di sisi. Aku ingin mendengar lagi suaramu yang dulu-dulu. Mengadu tentang ini dan itu. Bercerita dan berkisah, dengan lidahmu yang petah dan lagak yang penuh keletah. 

Doaku mengiringi setiap langkah di alam rumah tanggamu nanti. Moga si dia akan menjaganya seperti aku menjaga ibumu. aku akan bersangka baik. Justeru Allah itu menurut sangkaan hamba-hambaNya. Aku bersangka baik, insyaAllah, dia dan aku akan mendapat yang terbaik. Di situ, noktahlah kebimbangan hati seorang ayah. Seorang ABAH!




Tinta pembuka bicara


Marilah bersama....
kita semai benih cinta
kita siraminya dengan ketulusan
agar tumbuh pohon kemesraan
nan merimbun teduh
lantas memekarkan
kuntum-kuntum kebahagiaan
kasih dan sayang

Ruangan ini tidak lebih sekadar sebuah catatan perjalanan kehidupan dua insan...Moga memori yang tercipta menjadi pengubat rindu kala mendatang... Dan sebagai kenang-kenangan buat tatapan bakal permata hati yang dinantikan... 

Sesungguhnya yang baik itu adalah daripada Allah... dan pastinya yang terkurang, itulah kelemahan kami...

jazakumullah