Perkembangan Seorang Mujahid Kecil

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas junjungan yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Muhammad yang Amin, dan atas seluruh keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w..

Hari ini genap 3 bulan 5 hari usia khalifah kecil dalam kandungan umi... Sudah besar rupanya anak abi & umi... Alhamdulillah... dengan izin Allah, perjalanan kehamilan umi berjalan lancar dan sempurna... nikmat menjadi seorang ibu semakin umi rasakan seiring dengan tumbesaran khalifah kecil...

Dalam peringkat ini, tanda-tanda fizikal tentang kehamilan khalifah kecil dalam rahim umi semakin jelas kelihatan.... Mana tidaknya, kebanyakan pakaian umi sebelum ini sudah tidak muat dan selesa untuk dipakai... Terima kasih kepada abi yang sudi menghadiahkan baju-baju baru buat umi... syukran jazilan....

Sekarang, tumbesaran khalifah kecil akan berkembang dengan cepat... Saiz khalifah kecil juga akan bertambah beberapa milimeter setiap hari... Pembentukan wajah semakin jelas ketara. Jari jemari kaki dan tangan mula terbentuk termasuk telinga dan kelopak mata... Berat khalifah kecil pada masa ini adalah kira-kira satu aun (28gm) dan panjangnya dalam 8 cm. Kedudukan khalifah kecil dalam rahim umi turut semakin kukuh... Khalifah kecil juga sudah boleh menguap, menggeliat, memusing badan, tetapi sayangnya umi masih belum dapat merasakan sebarang pergerakan kerana saiz khalifatullah yang masih kecil...

Setakat ini sahaja bingkisan dari umi.... sekadar catatan perjalanan kembara seorang little caliph....

Wassalam...

Permata Abi & Umi

Khalifah kecil....
Di lembaran ini.. abi & umi dendangkan irama kasih… Tamsilan lukisan hati, luahan sebuah perasaan... Terimalah...

"Mewangi kuntuman bahagia
Di halaman ayah serta bonda
Menatang selaut cahaya
Melerai resah dan gundah di jiwa
Segunung impian dicita

Selangit harapan di damba
Dibelai, dimanja mesra
Kaulah racun, kau penawar
Senyuman dan tangisanmu
Pengubat duka dan lara

Engkau umpama sebutir permata
Diperlubukkan kasih nan bersinar, bercahaya
Hiasi rumahtangga
Engkau harapan seisi keluarga
Panjatan doa dan aimata
Yang pasrah kepada Yang Esa
Kepadamu tercurah
Kasih sayang dan pengorbanan
Agar terus gemilang"


Anak... Satu Anugerah

Sesungguhnya, khalifah kecil adalah harta paling berharga dimiliki abi & umi selepas iman kepada Allah dan Rasul. Khalifah kecil adalah anugerah yang sangat bernilai kepada kami suami isteri, kerana dengan kelahiran khalifah kecil akan mengeratkan lagi kasih sayang seisi keluarga. Lebih penting, khalifah kecil mewarisi keturunan, sekali gus menjadi generasi pelapis selepas abi & umi kembali bertemu Allah.

Ketahuilah juga, bahawa khalifah kecil turut mewarisi apa yang abi & umi tinggalkan, serta sebagai penyambung kehidupan dan tamadun manusia. Permata hati abi & umi juga akan menjadi seorang khalifah di atas muka bumi ini, dan dengan sebab itu, abi & umi menggelarkan anakanda kami panggilan ‘the little caliph’ (khalifah kecil).

Berbanggalah wahai khalifah kecil abi & umi, sebagaimana mafhum sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Bukhari dan Muslim, “Anak-anakmu adalah penduduk kecil syurga...”

Andai khalifah kecil tahu, telah abi & umi siapkan satu tempat paling istimewa di sudut hati kami sebagai tempat untuk khalifah kecil menghuninya... Berselimutkan kasih sayang yang tiada bertepi... Sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan Ibn Asakir dan Suyuthi, bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai anak hendaklah dia berlemah lembut dengannya.”

Abi & umi juga mahu khalifah kecil tahu bahawa Nabi s.a.w sendiri sangat mengasihi anak-anak kecil. Baginda menyifatkan anak dengan pelbagai kemuliaan, seperti bau dari syurga, malah sebagai penghalang daripada penurunan azab, sebagaimana dinyatakan dalam hadis diriwayatkan Suyuthi: “Kalaulah tidak kerana hamba Allah yang rukuk dan anak yang menyusu dan binatang ternakan yang ada, nescaya sudah turun azab seksa ke atas kamu.”

Malah, bagi abi & umi, khalifah kecil merupakan lambang kemuliaan dan keagungan kami seperti yang dijelaskan dalam hadis, bermaksud: “Tidak ada anak di dalam sesebuah keluarga melainkan mulialah keluarga itu.” (Hadis riwayat Tabrani).

Hakikatnya, kelahiran khalifah kecil adalah satu anugerah.... kebanggaan abi & umi, serta seisi keluarga yang amat2 menantikan kelahiranmu....

Hanya doa kami dambakan

Segala puja dan puji itu hanya milikmu wahai Tuhan penentu segala takdir. Selawat dan salam buat Rasul junjungan petunjuk sepanjang zaman, Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarga serta para sahabatnya. Berkat limpahan rahmat, taufiq, hidayah, keterbukaan, serta kesihatan yang dianugerahkan, umi diizinkan untuk meninggalkan jejak kasih buat khalifah kecil..

Tiada apa yang diharapkan umi & abi di kala ini melainkan mendoakan khalifah kecil sihat sejahtera di bawah naungan kasih sang pencipta... Detik Kelahiran anakanda ke dunia ini tidak pernah umi dan abi lupa menghitungnya saban hari...

Untuk itu, sebuah bingkisan umi dan abi nukilkan ikhlas buat khalifah kecil.... Semoga jadi pedoman dan panduan dalam kehidupan yang bakal ditempuh tidak lama lagi...


Khalifah kecil...

Engkaulah sebutir permata hati..

Untaian penyambung rasa kasih

Buah hasil rasa sayang....


Esakan Tuhan yang maha kuasa..

Yang menyediakan segala-galanya...

Untuk anakanda nikmati....

Untuk anakanda syukuri...


Hanya doa darimu...

Itu yang kami dambakan....





Penyejuk di mata, Penawar di hati

Ya Tuhan kami... anugerahkanlah kepada kami dari sisimu, zuriat yang terbaik... Sesungguhnya, dikau maha mendengar doa... amin, amin, ya rabbal a'lamin....

Segala puja dan puji bagi Tuhan sekalian alam... impian sudah menjelma di depan mata.... Bicara ini menyusul untuk menzahirkan kegembiraan kami suami isteri di batas maya. Sekadar mahu berkongsi cerita tentang kehidupan keibu bapaan yang bakal ditempuh, mempersiapkan diri membesarkan dan mendidik anak untuk menjadi yang terbaik.

Terbaik, mengikut kemampuan kami. Terbaik, mengikut keselesaan khalifah kecil. Dan yang pasti, mencari yang terbaik menurut acuan yang telah dipandu alQuran dan sunnah, insyaallah..

Buat khalifah kecil,  biasakan lah hidup dengan keyakinan, bahawa Allah itu sentiasa menyayangi, selagi  anakanda masih seorang muslim.. Tuhan pasti melindungi, selagi anakanda berusaha melindungi agamaNya. Pencipta tidak pernah meninggalkan bersendirian, selagi anakanda sentiasa ingat kepadaNya. Allah juga tidak akan membiarkan hati mati, selagi alQuran hidup dan bergema dalam jiwa anakanda. Abi, umi dan khalifah kecil akan pasti bertemu dengan Allah di Syurga yang abadi, sehingga akhir hayat, kita masih bergelar muslim...

Cerita seorang khalifah kecil baru bermula. Khalifah kecil abi dan umi sedang dibentuk, menjadi permata yang tidak ternilai untuk agama... 

Pastinya, dengan izin Allah yang mencipta, khalifah kecil ini juga adalah sebutir bintang timur kecil yang menjadi “Penyejuk di mata, Penawar di hati”.

Mudah-mudahan, anakanda yang bakal dilahirkan akan disayangi dan disanjungi penduduk langit dan bumi kerana kesolehan dan ketaatan pada Allah serta dianugerahkan kebijaksanaan yang menjadi kebanggaan Islam dan umatnya.

Akhiru kalam, secangkir doa dari umi dan abi... "Tuhan kami, semoga kurniakan kepada kami (khallifah kecil ini) dari anak-anak yang soleh”...


Salam sayang,

(Abi wa Umi)

'Bintang Timur Kecil'

Alhamdulillah... segala puja dan puji bagi Allah swt di atas limpahan rahmatnya yang tanpa sempadan.. memberikan kita nikmat iman dan islam... Nikmat sakinah & mawaddah.. dan nikmat-nikmat lainnya yang tidak terhitung....

Cepat benar rasanya roda kehidupan ini berputar.... Pejam celik, rupanya sudah hampir sebulan halaman kasih ini tidak bersinggah... tidak lagi dihiasi nukilan rasa perjalanan sekeping hati... 

Sesungguhnya ketahuilah, kehilangan tanpa berita ini bukan disengajakan... Ada rahsia agung yang tersembunyi... insyaallah, tidak lama lagi akan muncullah 'bintang timur kecil' dalam kehidupan ini... Permata hati yang sekian lama dinanti... 

Setinggi kesyukuran dirafaqkan kepada pencipta... kurniaan ini terlalu indah... hadiah yang tiada nilai bandingannya... maha besar Allah, rupa-rupanya sudah ada seorang khalifah kecil mendiami rahim ini... 

Terjawab sudah segala teka teki selama ini... sungguh tidak disangka alahan yang dialami adalah petanda sebuah kehamilan.... 

Bagai sebuah mimpi....  Impian bergelar 'umi' termakbul jua... begitu juga 'abi'... Walau pun dalam usia yang muda, kurang berpengalaman... rezeki ini amat-amat dihargai.... 

Sejak disahkan hamil, umi berpeluang merasai nikmat 'morning sickness'.... muntah dan loya sudah sebati dalam diri... letih dan lesu kian bermaharaja lela... semangat untuk melahirkan mujahid menjadi inspirasi umi menangani dugaan ini....

Hari ini, dengan sedikit kekuatan yang ada, umi gagahkan diri melakar coretan kenang-kenangan, sbg salam perkenalan buat anak umi yang amat dinantikan kelahirannya...

Juga sekadar berkongsi khabar gembira umi dan abi dengan seisi alam ini... Hanya tuhan yang mengetahui nikmat kebahagian dan kegembiraan yang sedang umi dan abi lalui saat dan ketika ini....

10 minggu 4 hari sudah usia anak umi ini.... bersabarlah... insyaallah 206 hari lagi, bertatap mata lah kita sayangku.... 

Untuk itu, sekian sahaja bingkisan dari umi setakat hari ini... Semoga Allah memberikan umi ruang & kesempatan mencoret lagi di lain waktu...

Wassalam....