Anak... Satu Anugerah

Sesungguhnya, khalifah kecil adalah harta paling berharga dimiliki abi & umi selepas iman kepada Allah dan Rasul. Khalifah kecil adalah anugerah yang sangat bernilai kepada kami suami isteri, kerana dengan kelahiran khalifah kecil akan mengeratkan lagi kasih sayang seisi keluarga. Lebih penting, khalifah kecil mewarisi keturunan, sekali gus menjadi generasi pelapis selepas abi & umi kembali bertemu Allah.

Ketahuilah juga, bahawa khalifah kecil turut mewarisi apa yang abi & umi tinggalkan, serta sebagai penyambung kehidupan dan tamadun manusia. Permata hati abi & umi juga akan menjadi seorang khalifah di atas muka bumi ini, dan dengan sebab itu, abi & umi menggelarkan anakanda kami panggilan ‘the little caliph’ (khalifah kecil).

Berbanggalah wahai khalifah kecil abi & umi, sebagaimana mafhum sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Bukhari dan Muslim, “Anak-anakmu adalah penduduk kecil syurga...”

Andai khalifah kecil tahu, telah abi & umi siapkan satu tempat paling istimewa di sudut hati kami sebagai tempat untuk khalifah kecil menghuninya... Berselimutkan kasih sayang yang tiada bertepi... Sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan Ibn Asakir dan Suyuthi, bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai anak hendaklah dia berlemah lembut dengannya.”

Abi & umi juga mahu khalifah kecil tahu bahawa Nabi s.a.w sendiri sangat mengasihi anak-anak kecil. Baginda menyifatkan anak dengan pelbagai kemuliaan, seperti bau dari syurga, malah sebagai penghalang daripada penurunan azab, sebagaimana dinyatakan dalam hadis diriwayatkan Suyuthi: “Kalaulah tidak kerana hamba Allah yang rukuk dan anak yang menyusu dan binatang ternakan yang ada, nescaya sudah turun azab seksa ke atas kamu.”

Malah, bagi abi & umi, khalifah kecil merupakan lambang kemuliaan dan keagungan kami seperti yang dijelaskan dalam hadis, bermaksud: “Tidak ada anak di dalam sesebuah keluarga melainkan mulialah keluarga itu.” (Hadis riwayat Tabrani).

Hakikatnya, kelahiran khalifah kecil adalah satu anugerah.... kebanggaan abi & umi, serta seisi keluarga yang amat2 menantikan kelahiranmu....

0 comments:

Catat Ulasan