Suamiku...Ibrahim


Cinta seperti hujan yang berkunjung renyai-renyai dalam kebun hidupku. Sungguh wajah Ibrahim seperti awan rendah yang meneduhkan. Aku suka memandang wajah itu, setiap hari dan saban malam. Tak pernah jemu, kerana wajah itulah yang tak putus-putus menghantar kedinginan dan keredupan, hujan cinta yang renyai-renyai. Wajah itu adalah cinta tak berbelah bahagi bagiku. 

“Keimanan itu bukan sekadar ikrar dengan lisan dan bukti melalui perbuatan, tetapi juga hati yang yakin dan mencintai,” pesan Ibrahim.

Ibrahim mengajarku pelbagai perkara, tentang langit dan bumi, tentang kelahiran dan kematian, tentang manusia dan hati. Juga tentang kisah para nabi dan rasul yang sangat gemar didengarinya. Aku ralit mendengar kisah Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah berkali-kali, berulang-ulang. Seperti seorang kanak-kanak, aku akan duduk diam di hadapan Ibrahim dengan senyuman manja sambil mendengar setiap satu kata yang diucapkan Ibrahim. Alangkah, cintaku menyala-nyala, tidak membakar tetapi mendinginkan.

Ibrahim mengajarku tentang keyakinan. Penyerahan dan kesabaran itu adalah kecintaan yang gagah, yang tulus buat Tuhan.

Aku cintakan Ibrahim, juga Ibrahim sangat mencintaiku. Itu yang dibisikkan Ibrahim tiap-tiap pagi ketika dahiku dikucup. Seperti dituangkan air yang dingin, aku merasai kasih sayang Ibrahim mengalir ke seluruh tubuhku, seluruh hati dan jiwa ragaku. Lalu tumbuh sepohon yang rendang, di situlah aku tumpang bernaung dari kepanasan dunia yang semakin melemaskan. Alangkah tulusnya. 

Ibrahimlah yang membawa ku  ke dunia yang serba cukup ini. Aku tidak mahu rumah mewah, atau kereta besar, atau barangan kemas yang membukit kerana aku hanya mahu merasai nikmat kasih sayang, memiliki keluarga dan insan untuk dicurahkan isi jiwa wanitaku.

Rinduku hanya kepada suamiku, tumpah melimpah-limpah. Itulah amanah yang ditetapkan oleh Tuhan buatku.

"Alangkah, Dia yang maha Menganugerah, pemilik segala Cinta, pemilik segala Rahsia."



0 comments:

Catat Ulasan