Isterimu Bukan Sesiapa


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Abang, Sebelum pena ini mula menari menulis apa yang direncana, aku doakan agar ia jauh daripada fitnah syaitan laknatullah apatah lagi daripada murka Allah S.W.T. Walaupun terasa sangat berat untuk meluahkan apa yang terbuku di hati namun dengan izin Allah S.W.T, aku yakin ini adalah lintasan yang benar dan dipandu oleh petunjuk Allah S.W.T. untuk aku menzahirkan apa yang lama terpendam. Semoga Dia mempermudahkan agar senang difahami dan tidak disalah ertikan nanti. 

Sesungguhnya apa yang berlaku benar-benar menuntut pertimbangan yang waras dan pengorbanan yang jitu andai kita tidak ingin tewas. Segala perlakuan dan tutur bicara abang telah membuatkan aku semakin pantas mengemudi penilaian ini, sejauh mana keikhlasan kita dalam menjalinkan ikatan yang suci kerana Allah S.W.T.?

Alhamdulillah pendidikan agama asuhan keluarga yang disemai sejak kecil masih terpasak teguh membina jati diri aku. Sememangnya penilaian tidak boleh dibuat berdasarkan luaran semata-mata, malah yang lebih penting adalah dalaman insani yang mana kemuliaannya pasti ditunjangi aqidah. Buku tidak dinilai berdasarkan kulitnya semata-mata, ya itu benar. Tetapi siapa tahu apakah yang terbuku di sebalik wajah lahiriah? Apakah tolok yang paling jitu tanpa ralat untuk mengukur darjah keikhlasan seseorang? 
Benar, siapalah aku untuk menilai keikhlasan diri orang lain, apatah lagi mendabik dada mengakui keluhuran hati sendiri. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Janganlah hendaknya kita lupa, darjah pangkat manusia di sisi Allah dinilai berdasarkan ketaqwaan kepadaNya. 
 
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah S.W.T., nescaya Dia akan memberikan kepadamu Furqan dan menghapuskan segala kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (al-Anfal:29) 
Abang, sebelum kita beria-ia mengidamkan kepercayaan manusia atas ketulusan kita, ada baiknya kita persembahkan keluhuran hati itu kepada Allah S.W.T. kerana sesungguhnya diterima di sisiNya sebagai hamba yang taat itu jauh lebih baik daripada dimuliakan oleh insan dalam tepuk sorak syaitan. Na’uzubillahiminzalik. 
  
Ya Allah, aku memohon keampunanMu andainya aku telah melalaikan khalifahMu di atas bumi ini ya Allah. Ya Allah, aku memohon perlindunganMu agar memeliharaku daripada menjadi asbab kepada khalifahMu untuk lalai dalam melaksanakan ibadah yang sepatutnya mutlak keranaMu. 
Aku tak minta abang buat sesuatu  keranaku. Siapalah aku untuk didedikasikan apa yang abang lakukan. Aku tak minta dikasihi melebihi Pencipta kita. Sesungguhnya, hanya Dialah yang berhak dicintai melebihi segala-galanya. Dia yang telah menciptakan kita daripada titisan yang hina hingga menjadi manusia yang sempurna, menghirup limpahan nikmatNya dalam setiap titis nafas kita. Aku khuatir, kalau-kalau abang terlupa akan perjuangan kita sebagai da’ie di bumi Allah S.W.T. ini. Kita khalifah yang berkelana di bumi ini dengan amanah yang berat untuk dilaksanakan, kecuali bagi yang beriman dan bertaqwa kepadaNya. Abang, pandanglah hakikat kejadian kita ini dengan mata batin, bukan hanya dengan sepasang mata zahir yang dikurniakan Allah. Kita diciptakan untuk beribadah kepadaNya, ikhlas keranaNya, bukan kerana hambaNya. 
Janganlah menjadikan diri ini sebagai asbab untuk abang tidak menjalankan tanggungjawab sebagai anak yang soleh. Walaupun selepas kahwin, syurga abang masih terletak di bawah tapak kaki ibu abangi. Sebaliknya, untuk aku, restu suami itu adalah yang paling utama sesudah ijab kabul. Kunci pintu syurga bagi seorang isteri adalah suaminya. 
Ibu bapa mentua sama tarafnya, sama tuntutan ketaatan ke atas mereka, seperti ibu bapa sendiri. Seperti mana aku mengasihi, menyayangi, dan mencintai ibu bapaku, begitu jugalah tumpahnya kasih sayang dan cinta ini kepada mentuaku. Semoga Allah menjadikan segalanya mengikut ketentuanNya. 
Yakinlah dengan janji Allah, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik, serta demikianlah juga sebaliknya. Insya-Allah jika kita sama-sama menjaga batas pergaulan yang dituntut syara’, jodoh kita akan soleh dan solehah. Sememangnya setiap Muslim mengimpikan wanita solehah bak bidadari syurga yang bakal memberikan syurga di dunia. Demikian juga Muslimah yang mengimpikan mujahid Allah S.W.T. yang setia dan mampu membimbing dirinya ke jalan kebenaran, yang akan mengajaknya kepada Rabbul Izzati ketika dirinya lemah, yang akan meyakinkan dirinya bahawa kemanisan iman akan sentiasa menaungi hati-hati yang bertaqwa, yang selalu memberi peringatan kepadanya tatkala dirinya lupa atau ragu akan nikmat dan rahmat Allah. Subhanallah. 
Sesungguhya telah ditakdirkan terbuka pintu hati ini untuk menerima abang sebagai suami, insya-Allah tanpa ragu-ragu lagi akan diserahkan sepenuhnya cinta ini dengan didasari oleh cinta kepada Ilahi. Jodoh dan pertemuan di tangan Allah S.W.T., kita merancang dan Allah juga merancang, namun perancangan yang terbaik adalah dari Allah S.W.T. Aku meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah S.W.T. untuk menentukan  zaujku. Aku yakin abanglah yang terbaik untuk diri ku kerana Allah telah menetapkannya. Harapnya abang pun begitu juga. Semoga Allah mempermudahkan pertemuan dan jodoh kita dengan insan yang diredhaiNya. Letakkanlah keyakinan, gantungkanlah harapan dengan Allah. Redhalah dengan ketetapanNya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui segalanya! 

Ya Rabbi, diriku telah meletakkan dan memberikan sepenuhnya hati ini kepadaMu untuk dilindungi daripada sebarang kejahatan yang akan merosakkan kemuliaannya. Oh Allah S.W.T., andainya hati ini ingin Kau berikan kepada makhluk ciptaanMu, berikanlah kepada khalifahMu yang turut mencintaiMu supaya hatiku tidak pernah berhenti daripada berzikir kepadaMu dan rahmatilah diriku dengan limpahan kasih sayangMu ya Allah. 

Wassalam...




0 comments:

Catat Ulasan