Jawapan Hati


Dari mana datangnya rindu?
Dari rasa menyentuh kalbu.

Dari mana datangnya cinta?
Dari mata turun ke jiwa.


Dari mana datangnya rindu?
Dari hati yang terbelai syahdu.

Dari mana datangnya cinta?
Dari jiwa yang asyik merasa.

Dari mana datangnya cinta.
Dari rindu angkara cerita.

Antara 2 Bidadari


03/10/2009 - Aku dirias cantik bak bidadari kayangan. Seperti cerita dogengan nenek. Berjubah polos putih suci. Di hadapan aku tersergam megah sebuah binaan yang ku kira mahligai yang paling indah. 

Sungguh indah. Indahnya tiada ungkapan kata yang mampu ku gambarkan. Berseri-seri. Serinya bagaikan mengandungi cahaya yang menusuk jiwa. Wanginya bagaikan haruman yang mampu merungkai keresahan hati. 

Sungguh aku terpesona. Di manakah aku saat ini? 

Pintu mahligai terbuka perlahan-lahan. Sekumpulan wanita-wanita yang terlalu cantik berbaris turun. Lagaknya mahu menyambut ketibaan orang penting sahaja. Seorang wanita yang akhir sekali memunculkan diri di hadapanku terlalu cantik. Sedangkan aku yang wanita ini sudah mengakui kecantikan ketua bidadari itu apatah lagi lelaki yang memandangnya. Mahu gila angau sejuta bulan. Mahu tidur tidak nyenyak, mandi tidak basah, makan tidak kenyang. 

Cantiknya dirimu. Terpancar kesucian yang jelas daripada wajahnya. Inikah bidadari seperti yang dijanjikan khabarnya menerusi ayat-ayat cinta Nya? Sungguh, aku terkesima memandangnya. Inikah Hurun Ain seperti yang pernah aku baca kewujudannya untuk berdamping setia dengan lelaki soleh lagi mulia. 

Dia memimpinku dengan senyuman paling manis yang pernah dihadiahkan kepadaku. Meraih lenganku dengan mesra. Lagaknya seperti dia mengenaliku sekian lama. Aku menurut sahaja. Tidak pula membantah. Laluan kami ditaburi kelopak mawar merah. Kami menuju ke dalam mahligai. Aku bagaikan orang dipukau. Dipukau dengan keindahan yang terbentang di hadapan mataku ini. Barisan wanita-wanita cantik tadi melagukan selawat. 

Sedap bunyinya. Berirama merdu. Cukup mendamaikan. 

Melangkah sahaja kakiku, deria rasaku disapa wangian yang cukup mewangikan. Ditegur kedinginan yang menyamankan. Diacah kecantikan mata. 

Nun disinggahsana berdiri seorang lelaki segak bergaya. Susuk tubuh yang amat ku kenal. Dia suamiku. Ya, mataku tiada salahnya. Dia suamiku. Suami yang ku cintai. 

Sememangnya aku mula terasa kerdil apabila melihat bidadari cantik itu. Aku tidak mampu untuk berdamping dengan lelaki yang amat ku cintai itu. Hanya kerana bidadari itu adalah terlalu sempurna untuk berdamping sepadan dengan suamiku. 
Sesuatu yang tidak kuduga, suamiku menghulurkan tangannya. Bidadari cantik itu memimpin aku yang tampak teragak-agak. Menyambut huluran yang amat bererti itu. Lalu aku didudukkan di samping suamiku. Suamiku mencium dahiku. Hangat dan sarat dengan limpahan mahabbah. 

“Wahai wanita yang diredhai suami, engkau adalah Ketua Bidadari. Engkau adalah Bidadari Untuknya. Untuk lelaki soleh itu. Kami ini adalah teman pendampingmu.” Lembut tutur bicara bidadari cantik itu. 

Menitis air mataku. Teringat aku satu janji Pencipta. Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud: “(Kebiasaannya) wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat. Lelaki-lelaki yang jahat juga adalah untuk wanita-wanita yang jahat. Dan sebaliknya wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik serta lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik.” – Surah al-Nur: 26. 

Seruan azan Subuh membuatkan aku terjaga. Ku kalihkan tempat beraduku. Di sampingku seorang lelaki yang telah Allah muliakan kedudukannya dalam mimpiku. Aku mengesat titis tangis yang terkesan daripada khabar gembira mimpi tadi. 

Sungguh aku bersyukur. Aturan suamiku yang membahagiakan. 

Majlis pernikahan yang berlangsung tiada halangan. Segalanya dipermudahkan. 

Pengantin itu mendatangiku. Aku terasa satu perasaan yang amat lapang. Lantas ku angkat wajahku. 

“Jagalah hati isteri, jangan disakiti, jangan dilukai, kerana ia amanah Ilahi. Bila bahagia membuatkan diri menjadi suci, isteri seorang terasa cukup di hati.



Wasiat Buatku

Maizatul Akma, permata hati yang disayangi.... Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, kami percaya kau telah mewarisi segala-galanya. Tetapi! Ia sebagai peringatan untuk yang lalai. Dan pedoman untuk yang berakal. Andai kami dapat memberikan segala-galanya, Nescaya tidak perlu bagimu seorang suami.

Tetapi! Wanita diciptakan untuk lelaki. Lelaki dicipta untuk wanita. Bercerailah kau dari ayunan buaianmu. Meninggalkan teratak tempat besarmu. Melangkah menuju ke alam baru. Yang belum kau kenal yang belum kau biasa... 

Bawalah wasiat dari kami, Sepuluh sifat Sebagai bekalan perjalananmu Menuju alam bahagia. 
Relakan dirimu sekadar yang ada. Semoga suci hatimu dengan taat setia. Dan hulurkan tanganmu tanda mahu berganding bahu.. 

Jauhkan dirimu dari segala yang jelek. Yang dihidu atau dipandang mata. Juga awasi gerak lakumu, Agar tidak sumbang mengguris rasa... 

Sembunyikan suram wajahmu, Gantikan ia dengan sinar Secerah suria pagi. Dan badan yang semerbak harum, Bermandikan wangian kasturi.... 

Mata berpasak, kening bercelak, Itu menambah seri, Itu membangkitkan berahi. Dan...Air cukup memada, Bagi yang tiada... 

Jaga masa makannya. Jaga waktu tidurnya. Kerana, Perut kosong hilang bicara. Mata mengantuk hilang kesabaran di dada... 

Kunci mulutmu. Tabahkan hatimu. Badanmu terselamat. Jiwa temanmu tidak terseksa... 

Simpan dulu kerianganmu dikala dia berduka. Pendamkan kesedihanmu dikala dia bergembira. Akibat aksi tidak senada, Hilang simpatimu disebab pertama. Keruh suasana disebab kedua... 

Hulurkan tanganmu.... Andai kau menghulur sebelah tangan. Nescaya dia menghulurkan kedua belah tangan, Tidak cukup tangan, nyiru pula ditadahkan... 

Ketahuilah! Kasihmu tidak sampai kerana, Jika hatimu berdua tidak sejiwa. Kasih kau, kasihlah dia, Benci kau, bencilah dia. Allah saja yang menentukan nasibmu..... 
Kau bawalah wasiat kami ini dan sampaikan salam kami kepada suamimu...



Nukilan Rasa Seorang Isteri


Duhai suamiku... Kadangkala mungkin tergambar di benak fikiranmu, bahawa engkau telah salah ketika memilih diriku menjadi pasanganmu. Kadang kala ia mengganggu dalam pergaulan sehari-harimu denganku, terkadang ku takut perasaan cintamu berubah menjadi benci, limpahan kasih sayangmu menjelma menjadi kemarahan, dan ketenangan pun berubah menjadi ketegangan.

Suamiku..... Di saat engkau masih sibuk dengan pekerjaan yang tak kunjung selesai, tak jarang aku kau abaikan. Waktu di rumah pun, kadang ku ikhlaskan demi masa depanmu. Bukankah engkau tahu aku pun butuh perhatian darimu. Terkadang ku cari perhatian itu, namun terlihat salah dipandanganmu. Kalaulah itu terlihat salah, semoga engkau bisa melihat kebaikanku yang lain. Bukankah Allah SWT yang mempertemukan dan menyatukan hati kita berpesan, "Dan pergaulilah mereka (isterimu) dengan baik. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak." [QS: An Nisa' 19]. 

RasulullahShallallahu 'Alaihi Wa Sallam yang kita cintai pun berpesan, "Sempurnanya iman seseorang mukmin adalah mereka yang baik akhlaknya, dan yang terbaik (pergaulannya) dengan istri-istri mereka." Jika engkau melihat kekurangan pada diriku, ingatlah kembali pesan beliau, Jangan membenci seorang mukmin (laki-laki) pada mukminat (perempuan) jika ia tidak suka suatu kelakuannyapasti ada juga kelakuan lainnya yang ia sukai. (HR. Muslim)

Saat diriku rela pergi bersama dirimu, ku tinggalkan orang tua dan sanak saudaraku, ku ingin engkaulah yang mengisi kekosongan hatiku. Naungilah diriku dengan kasih sayang, dan senyuman darimu. Ku ingat pula saat aku ragu memilih siapa pendampingku, ketakwaan yang terlihat dalam keseharianmu-lah yang mempesona diriku. Bukankah sahabat Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam, Ali bin Abi Tholib saat ditanya oleh seorang, "Sesungguhnya aku mempunyai seorang anak perempuan, dengan siapakah sepatutnya aku nikahkan dia?" Ali r.a. pun menjawab, "Kawinkanlah dia dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah, sebab jika laki-laki itu mencintainya maka dia akan memuliakannya, dan jika ia tidak menyukainya maka dia tidak akan menzaliminya." Ku harap engkaulah laki-laki itu, duhai suamiku.

Saat terjadi kesalahan yang tak sengaja ku lakukan, mungkin saat itu engkau mendambakan diriku sebagai isteri tanpa kekurangan dan kelemahan, sedarlah, sesungguhnya egois telah menguasai dirimu. Perbaikilah kekurangan diriku dengan lemah lembut, janganlah kasar terhadapku. Bukankah Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam telah mengajarkan kepada dirimu, saat Muawiah bin Ubaidah bertanya kepada beliau tentang tanggungjawab suami terhadap isteri, beliau pun menjawab, "Dia memberinya makan ketika ia makan, dan memberinya pakaian ketika dia berpakaian." Janganlah engkau keras terhadapku, karena Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam pun tak pernah berbuat kasar terhadap isteri-isterinya.
Tinta....Isterimu,
(MAIZATUL AKMA)


Bicara Hati

Atas tautan hati, juga atas satu dasar yg kukuh, nan Aqidah Muslim, nukilan ini kami layangkan warkah buat tatapan yang sudi..

Maizatul Akma, isteriku... Engkau sedia maklum, Engkaulah hiasan dunia, Lantaran fitrah itu, Engkau seringkali menjadi fitnah lelaki itu, Dan sememangnya itu bukan kesalahanmu, Tetapi itulah hakikat kejadianmu..

Suamiku, Ibrahim.... Aku mengetahui kesepian hati seorang lelaki, Yang seringkali mengimpikan seorang teman di sisi, Dan tentulah temanmu yg diimpi, Seorang serikandi..

Maizatul Akma, isteriku... Aku mengetahui halusnya perasaanmu, Engkau ingin disayangi, ingin dimanjai, Engkau juga ingin menyayangi juga ingin memanjai.. Dan aku juga tahu, Suamimu ini juga begitu..


Tetapi Maizatul Akma, isteriku... Ketahuilah engkau, Bercinta itu fitrah, Tetapi jgnlah engkau cemarkannya dengan fitnah. Kalau benar engkau mengasihiku, kasihilah kerana Pencipta Fitrah..

Wahai suamiku, Ibrahim... Andai engkau mencintaiku, Cintailah keranaNya, Letakkan lah Ia melebihi cintamu kepada ku...

Lantaran itu, Dengarlah sedikit pesan ikhlas kami LILLAH, Manusia mana yg mampu hidup tanpa cinta? Bercinta tak salah, Tetapi letakkan cintamu kepadaNya yg hakiki, Dan engkau kan merasa cinta manusia.. Sedikit cuma..

Andai Dia yg engkau dahului, Engkau takkan gelisah, Andai dia tidak mengirim sebarang sms, Andai suaranya tidak didengar walau teknologi di depan mata, Engkau tidakkan rindu, Andai sehari tidak besua, Engkau tidakkan kecewa andai dia terlupa mengatakan I love you. Kerana engkau percaya.. DIA yg terbaik..


Lantaran DIA yg Maha Mengetahui, DIA akan menentukan yg terbaik untukmu, Dan andai dia yg terbaik untukmu, DIA akan satukan juga hatimu dengan hatinya..Dan itulah sahaja melalui PERNIKAHAN..


Dan itulah yg terbaik buat kalian, Kalau ada jodoh tak ke mana.. Yakinlah! Apakah benar engkau meyakini takdirNya?

Maafkan kami teman, andai Bicara ini penuh ketegasan, kami membenci yang munkar itu, Dan kerana kami takutkan api yg menjunam itu, kami menegur yg mana mampu, Kerana kami takut, Andai aku tidak menegurmu, Kita kan sama2 meredah lautan api... Yang terlalu pedih, yg terlalu seksa, yg terlalu AZAB!!! Nauzubillah min zalik

Sama2lah kita, Pagarilah iman, Agar si iman itu tidak terlepas, Cintailah DIA, Kerana DIAlah penjaga iman kita.. Yakinlah dengan DIA.. Serahkan segalanya pada DIA.. Kerana DIA tahu yg terbaik, Sedangkan kita tidak.. ALLAHualam.

Akhirul kalam, Letakkan DIA dlm hatimu, Engkau akan merinduiNYA, Andai harimu tiada ingatan kpdNYA, Engkau akan gelisah andai DIA Tidak mendengar rintihanMu, Engkau kan rindu Andai DIA tidak memandangmu, Engkau kan tak keruan andai Doamu ditolak.. Dan itulah cinta hakiki.. Kerana engkau yakin, Di sana adanya sebuah Pertemuan di taman Syurga yg Indah..

Agar Dikau Bahagia


Kepada zaujahku, yang rela Allah swt sebagai Rabbnya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Rasulnya, yang berjihad di jalan Allah dengan untaian kalimahnya, menjaga norma-norma nya dan menyucikan jiwanya. 

Usah bimbang dan bersedih, berbahagialah dengan dekatnya kemudahan, datangnya pertolongan Allah swt serta janji pahala yang besar dan terhapus segala dosa.

Sesungguhnya zaujahku, tidak ada kecantikan bagi seorang wanita, tiada pula keindahan, harga diri dan kedudukan kecuali beriman kepada Allah swt. Apabila dirinya tegak di atas jalan ini, maka dia lah wanita yang mendapat petunjuk, diterima amalnya dan menjadi wanita pilihan disisi RabbNya. 

Namun, jika dia melepaskan jalan kebenaran tersebut, kafir terhadap Tuhannya, mengingkari agamanya dan melepaskan tuntutanNya, maka dia lah cermin kepada wanita yang murahan, hina dan terbuang. 

Pada saat itulah sinar kecantikan seorang wanita mula menghilang, walau berkalung gugusan bintang di langit, meskipun bermahkota bintang gemini dan matahari terbit di keningnya. 

Wahai zaujahku, wanita muslimah yang jujur, wahai wanita mu'minah yang selalu kembali kepada Allah. 

Jadikanlah dirimu itu seperti sepohon kurma. Jauh dari keburukan, menjulang tinggi menghindar dari sifat mengangau. Dilempar dengan batu dia menjatuhkan buahnya, tetap hijau pada musim panas mahupun dingin dan memberikan manfaat kepada sekalian manusia. 

Jadilah engkau orang yang menjauhi perkara-perkara yang rendah, keperibadianmu terjaga dari segala pola hidup yang menipu rasa malu. Ucapanmu adalah zikir, pandanganmu melahirkan ibrah, diammu adalah berfikir. 

Saat itulah engkau mendapatkan ketenangan dan akan diterima oleh penduduk bumi. Tercurah segala pujian yang baik-baik, doa yang jujur dari semua makhluk, dan Allah swt akan menjauhkanmu dari awan kesempitan, bayang-bayang ketakutan, dan gumpalan kekeruhan. 

Tidurlah berbantalkan curahan doa orang-orang mu'min, lalu bangunlah untuk meraih pujian yang ditujukan kepadamu. Saat itulah engkau mula menyedari bahawa kebahagiaan bukan terdapat pada simpanan harta, kad kredit dan kereta, rumah yang bagaikan istana, mahupun pada kasih nya seorang manusia, namun pada ketaatan terhadap Zat Yang Maha Terpuji. Kedamaian hidup bukan pada hiasan keduniaan, bukan pula mengabdi kepada hamba, namun kepada kepatuhan terhadap Zat Yang Maha Mulia. 

Pesanku, jadilah seorang wanita yang bermaruah, yang punya kedudukan tinggi di sisi Tuhannya. Di mana namanya sentiasa disebut-sebut dalam kalangan para malaikat, dan yang berjaya memperoleh cinta yang Teragung, iaitu cintanya Ya Rabb lantas menjadi wanita yang paling bahagia di dunia.


Mawar Di Tepi Jurang


Buat Isteri yang amat abang sayangi, jadilah seorang wanita sempurna seperti setangkai mawar berduri. Dan kesempurnaan mawar adalah pada durinya. Namun terkadang orang menganggap duri pada mawar mengganggu, merusak bahkan menghalangi keindahan kelopak mawar. Padahal justru dengan duri itulah setangkai mawar menjadi sempurna, terjaga, terlindungi, tak dipetik sembarang orang. Mawar adalah wanita, sedangkan duri pada mawar adalah aturan yang melekat dari Allah bagi seorang wanita. justru aturan itu yang melindungi, menjaga dan membuat seorang wanita mulia. Seperti duri yang jadi penyempurna mawar. Maka aturan Allah yang menjadi penyempurna wanita. Dan jika mawar berduri adalah mawar yang sempurna, pastinya wanita dengan aturan yang melekat dari Tuhannya pula wanita yang sempurna. 

Seorang wanita sempurna seperti mawar di tepi jurang. Bukan mawar di tengah taman. Maka sayangku, tumbuhlah di tepi jurang. Hingga tak sembarang tangan lelaki bisa menyentuhmu. lelaki yang berjaya memetikmu, pastilah lelaki yang paling berani berkorban untukmu. Bukan sembarang tangan bukan sembarang orang, bukan sembarang lelaki. Karena kau bukanlah barang murah yang boleh disentuh seenaknya. Bukan barang hiasan yang bisa dipetik dengan ancaman kecil. 
Bingkisan.... Abang



Mardhotillah yang kami buru

Bila hati diserah kepada Allah,

Tiada resah tiada gelisah,

Bila apa yang diburu hanyalah demi mardhotillah,

Hilang rasa gundah hidup rasa indah...

Bila benih cinta disemai dahulu pada Yang Esa,

Barulah akan menyusul cinta tulus sesama hamba...

Pergilah duka, Hapuslah kecewa..

Kerana bahagia telah tiba,

Di dunia ini dan di akhirat sana,

Dengan syarat Iman dan Taqwa,

Kukuh disemai dan tersemat di jiwa..

Mahligai Kasih


Duhai kasih cuba kau dengarkan
Bisik hati penuh kejujuran
Dengan sepenuh keikhlasan
Ku dambakan pengertian


Jangan kau dengar fitnah dunia
Kerna ianya dusta semata
Menghancurkan kesucian
Jalinan kebahagiaan


Sebenarnya aku merasa
Sinar cahaya yang gemilang
Ketika kau beriku harapan

Dan sering aku harapkan
Cinta berlandas keimanan
Dan kasih suci kita kan diberkati


Ku cuba sedaya
Agar dirahmati perhubungan yang telah terbina
Kerna pasti aku
Yang akan merasa pedihnya kehilangan insan sepertimu

Tuhan berikanlah
Ketabahan hatiku untuk membina impian kasihku
Bersama mengharapkan
Ketulusan cinta ini untuk membina mahligai bahgia..

Masjid Harapan

Di pasu hati, harum mekarnya bunga-bunga rindu,
disuburi baja iman, akhlak dan ilmu,
disirami sinar cinta seumur hidup perindu.


Di laman kasih abang bertamu,
Seiring luhur tepak sirih dihulur,
Sesantun irama serangkap pantun,
Sekilau jauhari bercahaya di pagar kesuma.


Rumah janji teguh berdiri,

Masjid harapan didiri di sisi.

(Memori Ikatan Kasih Pertunangan - 28/02/2009)



Tangis Syukurku

Sepencarian ini rupanya adalah kamu. Hikmah titismu pada kontang pasir membukit menjadi gunung rahmat. Sediaku menangguk dan menggali setiap lubang menjadi perigi, menadah rembesan tanpa kecuali. Setitis tangis pada pipiku ini bukan gerimis hidup, tapi erti syukur yang mengharap. 

Esak semalam itu mendengar pujukmu terdiam bila yang berbicara itu adalah tentang Esa. Lembut namun menusuk kalbu kosongku, menyerlah cahaya segala harap walau mendung di luar masih gelap. 

Gelita apakah yang menyesatkan aku sehingga suram bertandang, kabus hidup menutup tepat dugaku. Namun seperti kegilaan yang tidak ada sudahnya, kau hadir dari titis-titis itu, menjanjikan aman bernama doa. 


Hujan rahmat yang lama kontang semakin hidup membentuk lopak jernih, mungkin sekiranya terus berjuraian akan ada laut indah terbentang. Tak pernah terlintas titis-titis ini sampai juga dalam gurun hati.

Bicaramu juga seperti embun kala pagi hari, suci dan menyucikan. Kalam itu adalah kalimat penuh hikmah buat suluhan jalanku. Dulu, lorong sempit adalah legar hidup dan keamatan samarnya menjadi tiangku. Demi itu aku ketagihan ucapmu, lepaskan aku dari perit kedahagaan ini. Selalulah berdamping aku.
...Setulus kasih, zaujahmu...

Mahar Cinta Sekalung Setia

Lihatlah kasih lambaian syurga, setaman rindu bernaung cinta, lagu anginnya membelai jiwa, dari hatiku ke hatimu.Telah kubentangkan seluas hati, dengan redha bahagia dan janji setiamu, bibit ini terus ku simpul jati, utuh bersemadi dalam taman bahagia. Sesegar pohonan rindu, buahnya adalah sayang, himpunlah menjadi manisan kasih, antara kita berdua.Sepoi angin berbisik, menerbangkan daunan resah, tentang esok dan masa depan, dari kelopak harap bernama impian.Kolam semalam adalah cermin, penunjuk arah kala bintang menghilang, pantulan kelam sang bulan terang, kita jadikan lorong mencipta bahagia.Telah kusambut salam kasihmu, dari kejauhan pagar larangan, menapak setapak janganlah sayang, tunggulah aku di pintu syurga.Di sini aku dipagari bunga kasihmu, menanti tibanya hari, pagar cinta terbuka, bersama mahar cinta sekalung setia.Janjimu ku kibar megah, diulit angin cinta, hiasan terindah taman kita, semoga datang sejahtera.

"Selamat datang cinta."

Mekar Bunga Taman Larangan


apakah bunga-bunga teguh mekar di taman larangan?

bisa menghembuskan wangian iman?

atau...
berlagak cuma dengan ketipuan indahnya sementara?
aduhai bungaku sayang...
indahmu bukan menggoda...
lembutmu bukan kelemahan..
malumu bukan untuk di jaja..
auratmu bukan bisa di telanjang...
mengertilah bungaku sayang...
tumbuhmu di taman larangan,ada tujuannya..
kembalilah mekar...
mekarlah dengan iman dan takwa..
agar wangianmu membakar semangat
dalam menegakkan panji-panji islam yg di redai oleh allah...

Anugerah Terindah


Suami yang kucintai
Pernikahan kita satu anugerah Ilahi
Hadiah terindah maharnya suci
Kau calon soleh yang kuimpi


Lelaki soleh di hati ini
Bertakhta megah di singgahsana nurani
Melaksanakan amanah seikhlas hati
Menggenggam mutiara cinta yang murni


Kau kucintai
Pimpinlah aku menuju jannah
Jalan dakwah ini kita menikah
Berpimpin redha tawajuh melangkah
Membina sabar diterjah mehnah
(Tinta Kasih)
Isterimu

Ukhti...Bukan Ku Tak Sudi


Dulu.. 
Bukan tidakku mahu bertanya khabarmu,
Kerana ku menunggu,
Tibanya saat aku,
Merasai sendiri jiwamu.

Dulu..
Bukan tidakku mahu memandangmu,
Kerana ku menunggu,
Tibanya saat aku,
Halal memegang wajahmu.


Dulu..
Bukan tidakku mahu senyum padamu,
Kerana ku menunggu,
Tibanya saat engkau,
Halal bercanda denganku.


Kerana engkau bagiku Ukhti.. 
Umpama mawar kembang berduri,
Yang dipagari oleh jernihnya kilauan kristal,
Memancarkan sinar yang hebat,
Apabila sang mentari menyinari,
Dan bagaikan titisan-titisan permata,
Apabila hujan menyirami
Membuat diriku terpaku,
Terpesona,
Tidakku berani untuk terus memandangnya,
Kerna ku tahu mataku pasti akan silau,
Dek kerana hebatnya sinaran,
Tidakku mahu menyentuhnya,
Walau hanya dengan hujung jari,
Kerna ku tak mahu sinarnya hilang,
Dek kerana bayang-bayang ku.
Jauh sekali untuk memegangnya,
Pagarnya sahaja sudah cukup mengagumkan,
Apatah lagi bunganya..


Dulu..
Bukan tidakku mahu meluahkan isi hatiku,
Kerana aku dan engkau,
Adalah lelaki dan wanita,
Yang ada batasannya,
Yang harus menjaga hati,
Kerana Islam itu suci.

Sesungguhnya Ukhti..
Tujuan hidup kita sama,
Teruslah berjuang,
Tulus hanya untuk Allah,
Mencintai Allah adalah tuntutan,
Cinta Allah cinta yang pasti.

Ukhti Maizatul Akma, zaujahku...

P.E.R.K.A.H.W.I.N.A.N

Bernama perkahwinan itu
Adalah ikatan setia murni 
bertapak pada nawaitu suci
berdiri atas kasih tulus
berpaut di puncak munajat
bernaung di persada kerukunan
-demi keharmonian hakiki
-demi kebahagiaan abadi


Di bahu kami sebenarnya
Terbeban amanah
-yang perlu dipikul dengan tabah & gagah
Di tangan kami sebenarnya
Tergenggam kewajipan
-yang mesti dicorakkan dengan cermat & nikmat
Di jiwa kami sebenarnya
Terkandung harapan
-yang wajar dihiasi dengan kecerdikan & kecantikan
Kelak akan kami rasai
-senang & tenang rohani
-iman & aman nurani


"Semoga jodoh berkekalan, bahagia berpanjangan
dirahmati & diberkati Tuhan!"

Doa KAMI

Ya Allah,
Andai Kau berkenan, limpahkanlah rasa cinta kepada kami,
Yang Kau jadikan pengikat rindu Rasulullah dan Khadijah Al Qubro,
Yang Kau jadikan mata air kasih sayang Ali bin Abi Thalib dan Fatimah Az Zahra,
Yang Kau jadikan penghias keluarga Nabi-Mu yang suci.


Ya Allah,
Andai semua itu tak layak bagi kami,
Maka cukupkanlah permohonan kami dengan redha-Mu
Jadikanlah kami Suami & Istri yang saling mencintai di kala dekat,
Saling menjaga kehormatan dikala jauh,
Saling menghibur di kala duka,
Saling mengingatkan di kala bahagia,
Saling mendoakan dalam kebaikan dan ketaqwaan,
Serta saling menyempurnakan dalam peribadatan.


Ya Allah,
Sempurnakanlah kebahagiaan kam,i
Dengan menjadikan perkawinan kami ini sebagai ibadah kepada-Mu,
Dan bukti ketaatan kami kepada sunnah Rasul-Mu. Amin....


Ya Allah… Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahwa hati-hati ini telah berkumpul untuk mencurahkan cinta hanya kepada-Mu, bertemu untuk taat kepada-Mu, bersatu dalam rangka menyeru [di jalan]-Mu, dan berjanji setia untuk membela syariat-Mu maka kuatkanlah ikatan pertaliannya.

Ya Allah… Abadikan kasih sayangnya, tunjukkanlah jalannya dan penuhilah dengan cahaya-Mu yang tidak pernah redup, lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman dan keindahan tawakal kepada-Mu, hidupkanlah dengan ma’rifat-Mu, dan matikanlah dalam keadaan syahid di jalan-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Dan semoga shalawat serta salam selalu tercurah kepada Mudammad SAW, kepada keluarganya dan kepada semua sahabatnya.

Ya Allah… Tanggal 02 Oktober 2009, dua hamba-Mu yang dhaif mematri janji dalam Mitsaqan Ghaliza di hadapan kebesaran-Mu. Kami tahu tidak mudah untuk memelihara ikatan suci ini dalam naungan redha dan maghfirah-Mu. Kami tahu, amat berat bagi kami untuk mengayuh perahu rumah tangga kami menghadapi taufan godaan di hadapan kami. Karena itulah, kami datang memohon rahman dan rahim-Mu.

Tunjukilah kami jalan yang lurus, jalan orang-orang yang lebih Engkau anugerahi kenikmatan, bukan-nya jalan orang-orang yang Engkau timpai kemurkaan, bukan pula jalan orang-orang yang Engkau tenggelam dalam kesesatan. Sinarilah hati kami dengan cahaya petunjuk-Mu.

Terangilah jalan kami dengan sinar taufik-Mu. Kalau Engkau berkenan menganugerahkan nikmat-Mu atas kami, bantulah kami untuk banyak berzikir dan bersyukur atas nikmat-Mu itu. Hindari kami dari orang-orang yang terlena dalam kemewahan dunia. Lembutkan hati kami untuk merasakan curahan rahmat-Mu.

Ya Allah… Indahkanlah rumah kami dengan kalimat-kalimat-Mu yang suci. Suburkanlah kami dengan keturunan yang membesarkan asma-Mu. Penuhi kami dengan amal soleh yang Engkau redhai. Jadikan mereka Yaa…Allah teladan yang baik bagi manusia.

Ya Allah… Damaikanlah pertengkaran di antara kami, pertautkan hati kami, dan tunjukkan kepada kami jalan-jalan keselamatan. Selamatkan kami dari kegelapan kepada cahaya. Jauhkan kami dari kejelekan yang tampak dan tersembunyi.

Ya Allah… Berkatilah pendengaran kami, penglihatan kami, hati kami, suami/isteri kami, keturunan kami dan ampunilah kami.Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Amiin…

Kami yang berbahagia,
Baim & Akma

Zaujahmu


Dari kejauhan kau sampaikan
Hasrat bertandang mencari sunyi, yang sepi
Tiada teman menyandang keluh
Rentak dan irama, kau lagukan pada hati
Yang tersembunyi, kendiri
Aku masih tangkis dari renda kasih
Yang tidak nampak, tidak rasa, halus dari kanta

Di sini masih berlapik tabir
Pintas cahaya tidak kelihatan sinar
Apakah di sebaliknya, tidak tahu
Perlukah di selak berlari dari tanggungan
Menanti sebuah jawapan, yang timbul
Bersabar dalam keputusan hendaknya

Kau selak, terpandang kuntum senyuman
Indahnya bermandi wajah yang ceria
Jemari di genggam menyarung akad
Kini aku Humairahmu yang di simpan olehNya
Tanggungjawabmu tersiaga di hadapanmu
Terima kasih suamiku
Menerimaku sebagai zaujah hidupmu


Keindahan Mutiara

seindah mutiara...
kilauannya istimewa,
bukan untuk semua. 
sinarnya untuk yang sudi; 
silaunya untuk yang mengerti.
cahayanya untuk siapa yang sanggup sejenak,
mendalami dasar yang paling bawah,
paling gelap dan paling hitam. 
yang sanggup singgah dan mememerhati, memahami;
lantas bersusah mengopek,
sekeras tiram demi sebutir nan indah;
lalu lebih dihargai.

seindah mutiara...
bisik bicara gemerlapnya,
bukan untuk semua!


-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-

Duhai Suamiku...

Tahukah engkau anugerah yang akan engkau terima dari Allah di akhirat kelak? Tahukah engkau pula balasan yang akan dianugerahkan kepada suami yang berlaku baik terhadap isteri mereka? Renungkanlah bahawa,

"Mereka yang berlaku adil, kelak di hari kiamat akan bertahta di singgasana yang terbuat dari cahaya. Mereka adalah orang yang berlaku adil ketika menghukum, dan adil terhadap isteri mereka serta orang-orang yang menjadi tanggungjawabnya." [HRMuslim]. 

Ku doakan bahawa abanglah yang kelak salah seorang yang menempati singgasana tersebut, dan aku adalah permaisuri di istanamu.

Jika engkau ada waktu, ajarkanlah diriku dengan ilmu yang telah Allah berikan kepadamu. Apabila engkau sibuk, maka biarkan aku menuntut ilmu, namun tak akan ku lupakan tanggungjawabku, sehingga kelak diriku dapat menjadi rujukan buat putera-puteri kita. Bukankah seorang ibu adalah madrasah ilmu pertama buat cahaya matanya? Semoga engkau selalu mendampingiku dalam mendidik mereka dan bertakwa kepada Allah.


Erti Cinta


cinta itu bukan lah sekadar pengucapan 
bukan juga satu pengharapan atau kebetulan  
apatah lagi sekadar cuma penyatuan  
tapi adalah detik nafas untuk setiap yang bernyawa 
untuk merasa makna sebenar kehidupan


namun definisi cinta terlalu luas utk ditafsir
andai di susur seluruh maya sekali pun
rasa cinta tak pernah sama 

dan pastinya tak mungkin ada buat mereka yang takut untuk mencuba


Doa Kami


"Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan meyokong syariatMu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya yang sebenar. Penuhkan hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakal kepadaMu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentangMu. Jika Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah permintaan ini"



Kenangan Terindah


Seindah bicara, 
Semanis senyuman, 
Sedamai wajahmu. 
Tatkala puisimu memuji Ilahi, 
Menghangatkan jiwa yang beku, 
Menyinari kalbu yang suram. 
Bait-bait kecintaan pada “NYA”, 
Meraih segala kedukaan, 
Bisikan ketenangan dan kedamaian, 
Tulus dan ikhlas. 
Sedetik pertemuan, 
Mengulit kenangan yang terindah, 
Suatu saat pastinya, 
Terima kasih untuk segalanya.



Buatmu...Kesayanganku

Isteri kesayanganku, 
jagalah setiap langkah dan tindakanmu. bentengilah kubu dirimu dengan perasaan malu. malu yang bertunjang kepada keimanan dan ketaqwaan. jadilah seperti sebuah permata jangan pula menjadi seperti serpihan kaca. jangan biar dirimu dieksploitasi demi kepentingan tertentu. sesungguhnya Allah telah mengangkat martabatmu setaraf kaum Adam. kau adalah harapan ummah dalam melahirkan para mujahid dan mujahidah yang bakal menggoncangkan dunia dengan sentuhan lembut tanganmu. 


Isteriku Akma, 
tak mungkin diri yang lemah ini mampu menilai setiap dari kamu, tapi pesanku ikhlaskan diri kerana Allah. hiasilah dirimu dengan titisan wuduk, tundukkan pandanganmu, jagalah muamalatmu, susun tutur katamu, pelihara harta kehormatanmu kerana engkau adalah muslimah idamanku. 
biar bidadari cemburu padamu... 
wallahua'allam

(tinta abang)

Cinta Suamiku


Abang...
cintailah aku 
kerana cintamu pada Tuhan yg satu, 
betulkanlah aku kerana agama itu lurus, 
pimpinlah aku, 
kelak aku amanahmu yg bakal dipersoal Tuhan, 
tegurlah kesilapanku, 
kerana diriku ekspresi dirimu, 
berlemah-lembutlah terhadapku, 
kerana aku tamsilam rusukmu yg bengkok, 
bersolat denganku, 
kerana akulah makmunahmu paling akrab, 
bersabarlah dengan kerenahku, 
kerana sepurnama itu aku membuncah, 
doakan keberkatanku, 
kerana aku ingin mencintaimu hingga ke negeri FIRDAUS... 



Kau Mawarku


Melangkah ke kebun cinta
Haruman mengusik jiwa muda
Sekuntum mawar ku pandang tidak jemu
Lemah gemalai ditiup sang bayu
Titisan embun bak mutiara
Anggun rias dihujung
Kelopak merah halus mulus

Melangkah ke kebun cinta

Nafsu gelojak cuba memetik
Tangkai ramping dalam jambangan
Aduh! Duri tajam menusuk
Melindungi kesucian
Melindungi kecantikan

Melindungi keimanan

Melangkah ke kebun cinta

Mawar manakah yangku cari

sekuntum mawar berduri

Kau Mawarku...Maizatul Akma


Sekudus Doa Isteri


Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim 
Kau ampunilah dosa ku yg telah ku perbuat 
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yg tiada terbatas 
Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal 
Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan 
Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista 
Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaranMu 
Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan 

Ya Allah 
Sekiranya suami ku ini adalah pilihan Mu di Arash 
Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya 
Sekiranya suami ku ini adalah suami yg akan membimbing tanganku dititianMu 
Kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya 
Sekiranya suami ku ini adalah bidadara untuk ku di Jannah Mu 
Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya 
Sekiranya suami ku ini adalah yang terbaik untukku di DuniaMu 
Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya 
Sekiranya suami ku ini jodoh yang dirahmati olehMu 
Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah dan ragamnya 


Tetapi Ya Allah 
Sekiranya suami ku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang 
Kau tunjukkanlan aku jalan yg terbaik untuk aku harungi segala dugaanMu 
Sekiranya suami ku tergoda dengan keindahan dunia Mu 
Limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya 
Sekiranya suami ku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan 
Kurniakanlah aku kekuatanMu untuk aku memperbetulkan keadaannya 
Sekiranya suami ku menyintai kesesatan 
Kau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena 


Ya Allah 
Kau yang Maha Megetahui apa yang terbaik untukku 
Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan ketelanjuranku 
Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan 
Bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai 
Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri 
Kau hukumlah aku didunia tetapi bukan diakhiratMu 
Sekiranya aku engkar dan derhaka 
Berikanlah aku petunjuk kearah rahmatMu 

Ya Allah sesungguhnya 
Aku lemah tanpa petunjukMu 
Aku buta tanpa bimbinganMu 
Aku cacat tanpa hidayahMu 
Aku hina tanpa RahmatMu 

Ya Allah 
Kuatkan hati dan semangatku 
Tabahkan aku menghadapi segala cubaanMu 
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami 
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agamaMu 
Bimbinglah aku menjadi isteri Soleha 
Hanya padaMu Ya Allah ku pohon segala harapan 
Kerana aku pasrah dengan dugaanMu 
Kerana aku sedar hinanya aku 
Kerana aku insan lemah yg kerap keliru 
Kerana aku leka dengan keindahan duniamu 
Kerana kurang kesabaran ku menghadapi cabaranMu 
Kerana pendek akal ku mengharungi ujianMu 


Ya Allah Ya Tuhanku... 
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati 
Isteri yang dikasihi 
Isteri yang solehah 
Isteri yang sentiasa dihati 


Amin, amin Ya Rabbal Allamin..


Lafaz Akad Yang Dinanti

Untukmu Suamiku, telah bertahun lama ku tunggu lafaz akad ini, yang akan membimbing diri ku ke Jannah Allah. Apalah ertinya perasaan kasih yang bersemi untukmu suamiku andai maharnya bukan kemampuanmu untuk mendidikku menjadi mujahidah yang mencintai DIA lebih dari segala...

Tiada yang lebih bahagia suamiku, melainkan didikanmu yang akan membuatkan diri ini mencintai perjuangan menegakkan Deen ini, berikan ku sepenuh kekuatanmu dalam mendidik iman ku agar syahidmu ku damba, berikanku segala kasihmu jua agar sujudku kan tegar padaNya dalam memohon dikurniakan pada kita mujahid-mujahidah yang akan menyambung perjuangan baba mereka.

Berikanku sepenuhnya sebahagian hati yang kau sediakan untuk diriku, Mungkin kau hairan suamiku, mengapa diri ini hanya mahukan sebahagian hatimu dan bukan sepenuhnya. Suamiku, hatimu itu milik robbul jaleel, dan ku pohon sebagaian itu sebagai semangatku wahai suamiku, Dari awal lagi sudah ku didik hati ini, bahawa dirimu suami ku bukan milikku dan juga mujahid-mujahidahku itu bukan milikku. kalian milik Allah, dan diriku hanya medan yang diciptakanNya untuk menyambung generasi jihad dari rahim ini.

Wahai suamiku, seadanya diri ini sekarang, hanyalah dalam mujahadah mentarbiyyah jiwa agar diriku bisa menjadi sayapmu mengenggam syahid. Tersangatlah bimbang diri ini andai ku gagal mendidik hati, kerana yang kuimpi seorang pejuang untuk menyambung jihad yang terbentang dengan melahirkan para mujahid mujahidah...

Wahai suamiku, mari bersama kita mendidik hati mencintai SYAHID demi redhanya, sebagai hamba yang menikmati kurniaan yang tidak terkira dari rafiul a'la, bersamalah kita bersyukur, bersyukur dengan mencintai DIA lebih dari segala isi dunia dan dunia ini... kerana hilang erti pada sebuah kehidupan andai cinta dari Allah tidak kita balas, andai cinta sementara bisa melukakan hati sepatutnya hati-hati kita robek sudah kerana gagal membalas segunung cinta dari DIA Maha Esa...

Semoga semuanya terjawab dalam sujud yang kita labuhkan demi redhaNya... biarlah seribu malam berlalu tapi pastikan ianya berlalu dengan alunan sendu dalam sujud kita di atas lembaran sejadah... InsyaAllah inilah pengakhiran pencarian kita...

Wassalam

Antara 2 C.I.N.T.A

Wahai Allah, Engkau-lah saksi ikatan hati ini... Aku telah jatuh cinta kepada lelaki pasangan hidup ku, jadikanlah cinta ku pada suamiku ini sebagai penambah kekuatan ku untuk mencintai-Mu. Namun, kumohon pula, jagalah cintaku ini agar tidak melebihi cintaku kepada-Mu, hingga aku tidak terjatuh pada jurang cinta yang semu, jagalah hatiku padanya agar tidak berpaling pada hati-Mu. Jika dia rindu, jadikanlah rindu syahid di jalan-Mu lebih dia rindukan daripada kerinduannya terhadapku, jadikan pula kerinduan terhadapku tidak melupakan kerinduannya terhadap surga-Mu. Bila cintaku padanya telah mengalahkan cintaku kepada-Mu, ingatkanlah diriku, jangan Engkau biarkan aku tertatih kemudian tergapai-gapai merengkuh cinta-Mu.

Ya Allah, Engkau mengetahui bahwa hati-hati ini telah berhimpun dalam cinta pada-Mu, telah berjumpa pada taat pada-Mu, telah bersatu dalam dakwah pada-Mu, telah berpadu dalam membela syariat-Mu. Kukuhkanlah ya Allah ikatannya. Kekalkanlah cintanya. Tunjukilah jalan-jalannya. Penuhilah hati-hati ini dengan nur-Mu yang tiada pernah pudar. Lapangkanlah dada-dada kami dengan limpahan keimanan kepada-Mu dan keindahan bertawakal di jalan-Mu.
Amin ya rabbal alamin.

Hakikat Tersurat


Abang....
Usah diimpikan selaut sutera keindahan
Usah diigaukan kasih yang mengunung tanpa puncak
Juga usah abang harapkan
Kesempurnaan diri ini


Aku bukan Siti Khadijah
Mahupun permata Siti Fatimah
Aku bukan Siti Aisyah
Mahupun Ummul Mukminin lain
Bukan juga Rabiatul Adawiyah
Wanita sufi terpuji
Juga tidak mencapai martabat Siti Maryam
Masyitah, Asiah, Sumaiyah


Mengertilah dengan waras keislaman
Aku hanyalah wanita akhir zaman
Yang masih cuba mempertahankan maruah
Dan kesucian diri sebagai muslimah
Berlandaskan garisannya
Dalam mengharungi kegawatan masa kini
Yang serba palsu dan penuh onak diri 
Dengan kemampuan sekuman cuma


Demi keranaNya semata
Tidak kutagih apa-apa darimu
Cuma kupohon sebuah pengertian
Dan kasih sayang suci
Bahawa aku adalah amanat untukmu
Yang telah ditakdirkan bersamamu


Cinta Yang Kutemu

Dalam kelam hidup ini,
aku mencari cahaya, yang bisa menyuluh jalanku,


Dalam tandus jiwaku,
aku mendambakan siraman kasih, yang melembutkan kekontangan hatiku…

Dalam aku mencari cinta,
Yang bisa mengamankan aku,

Aku temui cinta ini…

Detik Pertemuan


Suamiku... 
masihkah dikau ingat 
muqadimah perhubungan ini 
terbinanya tanpa coretan kata pada helaian warkah 
bukan pada titik pertemuan 
akan tetapi 
kemuliaan kalimah salam kau utuskan 
sejarah kehidupan jadi perantaraan 
tersimpan di ruang memori 
bukti laluan percintaan 
terjalin dalam simpulan kasih

Suamiku..... 

kini.. kumasih berjalan 
dipentas hakiki pernikahan ini 
merentasi detik-detik tiba 
kadang.. membawaku ke lorong lamunan 
pabila jiwaku disinggah kesepian 
menemani bersendirian 

Suamiku...... 

andai wadah pernikahan ini 
kalamku merangkai dusta 
langkah ku mencalar luka 
bisikkan hasad merobek hatimu 
susunan jari ku hulurkan 
salam kemaafan ku luahkan 

Suamiku.......

tiada lagi harapan sebesar gunung 
tiada rindu untuk ku layarkan 
melainkan untuk pernikahan ini 
bagai air mengalir 
tiada perhentian



Pesona Sepasang Mata

tika mata,,,

diuji manisnya senyuman.. 

terpamit rasa penyubur harapan... 
dan seketika...terlontar ke dunia hayalan.. 
hingga terlupa singkat perjalanan.. 
tersedar aku dari lena... 
dihembus lembut belaian cinta... 
rela aku pendamkan impian yang tersimpan engganku keasyikan 
gusar keindahanya melenyap rasa cinta pada DIA yang selayaknya...




Takdir Penentu Segala


Pertemuan antara dua hati,
Melengkapkan fitrah hidup insani,
Bersaksi di langit terpatri di bumi 
Mendamba kasih memuji Ilahi 


Antara dua hati
Ibrahim dan Akma ditakdir Ilahi,
Bersatu atas lafaz nan suci,
Ijab bersaksi qabul merestui


Dua hati
Teguh bila disayangi,
Kukuh untuk mencintai 
Kerana kasih itu safi


Hati
Mendamba kasih memuji Ilahi
Ijab bersaksi qabul merestui
Kalimah cinta harum mewangi 
Sesegar rahmat sesuci kasih Ilahi


Putera Agama Pilihanku

Dulu hati ini terasa sunyi sepi 
Dulu juga jiwa ini terasa kosong tidak berisi 
Masa itulah yang telah memunculkan satu rasa 
Cinta yang tiba-tiba menyelinap masuk di kamar hati 
Rindu juga tiba-tiba menjelma jauh di sudut hati 
Semuanya datang bagaikan satu mimpi yang tak pasti 
Mengapa?? 

Ya Rabbana, 
Mengapa perasaan ini tiba-tiba hadir 
Dikala aku sedang mencari-cari cintaMu 
Mengapa rindu ini harus ada 
Saat hatiku sedang cuba untuk merindui syahid di jalanMu 
Mengapa mesti aku berharap pada cinta yang tak pasti 
Sedangkan Kau harapan yang patut aku sandarkan..
Ya Rahim,

Aku sedar siapa diriku ini

Aku hanyalah hambaMu yang hina dengan longgokan dosa 
Hari-hariku tidak terlepas dari berbuat dosa 
Ya Rahman, 
Mungkin inilah ujian untukku dariMu 
Sebagai kiffarah dosa-dosa yang pernah aku lakukan 
Mungkin inilah juga dugaanMu Terpaksa ku hadapinya dengan bekalan iman yang masih bersisa Walaupun aku sedar

Jiwa ini terlalu kotor untuk menagih redhaMu.. 

Ya Ghafur,

Berilah aku kekuatan dan keteguhan iman 
Untukku menepis dugaan cinta yang datang ini 
Bantulah aku untuk bangkit dan bermujahadah 
Melawan mainan perasaan ini 
Tiada siapa yang layak membantuku tika ini 
Melainkan Engkau,Ya Allah.. 
Ya Rabbul Izzati, 
Teguhkanlah hatiku ini dengan kubu keimanan 
Untukku serahkan cinta ini hanya padaMu 
Untukku salurkan rindu ini hanya buatMu 
Untukku sandarkan harapan ini hanya untukMu 
Untukku mudah menggapai pohon redhaMu 
Agar aku sentiasa mendapat belaian kasih sayang dariMu.. 
Ya Allah, 
Engkau ampunkanlah segala dosa-dosaku 
Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun 
Aku sedar dosaku menggunung tinggi tidak bertepi 
Berkenankah Kau menerima doaku ini 
Layakkah aku menerima cinta manusia 
Sedangkan cintaMu masih belum kutemui.. 
Pintaku Ya Allah, 
Berilah aku petunjuk dan hidayahMu 
Agar aku bertemu dengan cinta yang mencintaiMu 
Hadirkanlah seorang putera agama pilihanMu 
Untuk bersama denganku menggapai redha dan cintaMu 
Jangan biarkan maksiat mencemarkan kesucian yang dibina 
Peliharalah hubungan cintaku dengan payung rahmatMu 
Agar cinta yang dibina kekal bahagia dan abadi 
Di destinasi syurga Firdausi.. 

Nabi saw. bersabda: Salah satu di antara kalian tidak beriman sebelum ia mencintai saudaranya (atau beliau bersabda: tetangganya) seperti mencintai diri sendiri. (Shahih Muslim No.64) 

Paling kuat tali hubungan keimanan ialah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah.

(HR. Ath-Thabrani)

Mahligai Untuk Isteri


Telah ku siapkan satu daerah paling sunyi

Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri 

Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita 

Untuk kau berilti dengan kelembutan 

Untuk kau hargai dengan kasih sayang 

Ku ingin kau jadi wanita mulia 

Yang tahu harga budi dan hati

seorang lelaki bernama suami 

Kerana engkau isteri ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini tak semudah 

Yang kita janjikan 

Kerana kau isteri ku
(Maizatul Akma)

Munajat Seorang Isteri


Ya Rabb,
telah Kau janjikan sejak azali,
janji yang terpatri,
utuh di kamar hati,
mendamba insan sejati,
pembimbing peneman diri…

ya Allah,
dalam hijab kasihMu,
aku mengintai rahmat yang mekar,
menjeling sirna rindu yang amat,
memohon pada doa yang keramat..

ya Ilahi,
terusik sudah kamar hatiku,
dalam munajat pada Mu Yang Satu,
andai kalimah cintaMu,
telah Kau redhai buatku,
pimpinkanlah aku menerangi kasihMu…

ya Rahman,
rindukah aku pada mukhlis itu?
Yang Kau janjikan hanya satu,
hambaMu yang terlalu menyintaiMu,
hambaMu yang merindui syahidMu,
hambaMu yang begitu inginkan,
hidup dalam kerahmatanMu…

Ya Allah,
Aku ingin mejadi isteri solehah,
Aku ingin menjadi yang terbaik untuk suamiku,

Ya Allah,
Janganlah Engkau sisihkan aku,
Daripada rahmat dan inayahMu,

Ya Allah,
Aku ingin hidup dalam keberkatan,
Menyucikan diri dalam mendamba kerahmatan,
Agar iman itu bisa kusuburkan,
Menjadi pelita di teratak nafsu,
Menjadi pewangi di istana aqal…

(Isterimu....A.K.M.A) 

Seloka Sebuah Cinta


antara rindu dan kasih,
terjalin ukhwah mahabbah,
tersulam tautan muhibbah,
menyemai iman di hati,
yang terpatri, di lubuk hati.

apabila cinta sudah diungkap,
lahirlah rindu bersaksi ijab,
tapi rindu itu biar tunjangnya pada Allah,
kasih itu pohonnya zikrullah,
moga tak tersasar membawa padah,
rindu itu asasnya mujahadah,
kasih itu bunga muhasabah,
berkasihlah selagi mana rindu itu ada.

Doa Seorang Suami

InsyaAllah.......Telah ku pilih si jantung hati, si isteri yang kasihkan suami membina keluarga bahagia diredhai

Diriku pasrah.... jika jodoh pada yang ananah, ijab kabul pada yang mananah, ukhwah dipatri pada yang hananah, kasih diberi pada yang hadaqah, cinta disulam pada yang baraqah, sayangnya aku pada yang syadaqah

Jadikanlah aku.... suami mithali
mendidik isteri bercakap benar, melatih isteri bersifat sabar
menyuruh isteri sentiasa bertaubat
bersyukur dengan segala nikmat

Isteriku kaulah bayang-bayangku....

Hadiah Seorang Isteri

 

Di kala abang keseorangan
sayang penghibur dan jua peneman
hati yg sayu tidak kesepian
duka dan lara tiada keresahan


Ya Allah tidak abang pinta yg menawan
tidak abang harap yg hartawan
bukan jua kerna kedudukan
cuma didamba insan yang sepadan

Kasihnya sejati bukannya kerna paksaan
biarpun derita yg menjadi rintangan
ketulusannya yg tiada bandingan
tercipta ayu indahnya peribadi insan


Terima kasih Tuhan....
Di atas hadiah seorang isteri...

"Maizatul Akma"

Destinasi Cintaku

Aku melangkah setapak demi setapak. Mencari sesuatu yang tak pasti. Berbekalkan tekad dan semangat dalam diri, Ku yakin aku kan gah berdiri, Pelbagai ragam makhluk kutemui.. Sedang fikiranku..imanku..giat menganalisis.. Apakah yang ku cari selama ini? Tidak pasti..

Ku teruskan perjalananku.. Dalam sunyi..sepi..hanya aku dan diriku.. namun kerap kali hati ini goyah.. dek nafsu dan syaitan menitip bisikan.. Aku tersungkur..aku cuba berpaut.. Kugagahi tubuhku untuk terus berjalan..
Berjalan dan terus berjalan.. 

Tiba-tiba ku tersedar akan kekurangan yang ada, kesunyian yang kualami, kelemahan yang kurasai.. Aku perlukan sokongan.. Aku perlukan pembakar semangat.. Aku perlukan seseorang yang boleh mengingatkan.. Aku perlukan tempat berkongsi suka dan duka..

Jiwa ini keliru.. Namun kugagahi jua kaki untuk terus melangkah.. Dek jiwa yang kekeringan ilmu..hatiku dibelai nafsu.. Keseronokkan duniawi yang kucari.. Titisan airmata diganti dengan hilai tawa.. Aku gembira bertemu ramai kawan.. Bertukar cerita..berkongsi masalah..

Tanpa kusedari..aku sedang diuji.. Ya! aku perlukan teman sejati.. Namun hatiku salah menilai.. Sedang aku terlupa, disisiku ramai ikhwah yang setia menanti di perhentian suci.. Dalam berjuta, engkau suntinganku.. "Maizatul Akma"



Tuhan, kaulah sebaik-baik penyelamat.. Aku tersentak , langkahku terhenti.. Terlihat cahaya berkelipan di ruang sana.. Terdengar madah-madah bersulam kalimat cinta yang indah.. Kalimat-kalimat peringatan dan khabar gembira..

Aku singgah di perhentian suci itu… Hati ni mula terbelai dengan kalimah-kalimahNYA.. Persoalan di benakku kian terjawab.. Air mata mengalir laju tatkala episod lalu bermain di fikiran..

YA ALLAH.. maafkanlah hambamu ini.. Benar cintaMU tiada tandingan.. dan di perhentian ini mengajarku seribu satu kebaikan

Tuhan.. moga saat ini, di perhentian ini..kebahagiaan bermula...